Categories
PBT SELANGOR

MPAJ mohon tapak pelupusan haram dibersihkan segera

OLEH AFIX REDZUAN

AMPANG JAYA, 22 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berharap kontraktor dilantik dapat segera membersihkan tapak pembinaan Maahad Tahfiz Integrasi Sains (MITS), di Pandan Indah yang kini menjadi lokasi pembuangan sampah haram.

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain berkata, MPAJ sudah menghubungi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selaku pemilik tanah berkenaan isu itu.

“Saya dimaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah melantik kontraktor untuk pembinaan MITS berkenaan tetapi kita belum dimaklumkan masa kontraktor akan masuk ke tapak.

“Saya sudah menghubungi JAIS bagi mendapatkan maklumat berhubung kerja pembersihan dan kita minta kontraktor dilantik segera melakukan pembersihan,” katanya.

Katanya, jika MPAJ terlibat dalam kerja pembersihan, ia akan membabitkan perbelanjaan besar.

Berdasarkan laporan akhbar hari ini, lokasi pembuangan sampah haram itu terletak di kawasan tanah lapang bersebelahan Masjid Al-Azim, Pandan Indah.

Penduduk setempat memaklumkan kawasan itu menjadi tapak pelupusan sampah haram, sejak dua bulan lalu.