Categories
SELANGOR

Sambutan Hari Kanak-kanak Subang Jaya meriah

OLEH SABIRAH AZIZ

SUBANG JAYA, 2 DIS: Seramai 500 kanak-kanak diraikan dalam Sambutan Hari Kanak-kanak anjuran Pejabat Adun Subang Jaya, di sini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata, sambutan pada kali ini membawa mesej untuk mengutamakan keselamatan kanak-kanak.

“Antara saranan saya kepada ibu bapa ialah sentiasa memantau anak-anak semasa melayari internet supaya tidak terjebak dengan perkara negatif.

“Ibu bapa pula hendaklah berwaspada memuat naik sebarang perkara di laman sosial seperti gambar rutin harian anak-anak bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan gambar tersebut.

“Di samping itu, ibu bapa mesti menjaga kesihatan mental anak-anak dan bersahabat dengan mereka supaya mereka rasa lebih selesa dan tidak tertekan,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Kanak-kanak di Summit USJ, semalam.

Katanya, kanak-kanak juga perlu ditanamkan sikap anti buli dan kesedaran untuk terus memaklumkan kepada ibu bapa sekiranya menjadi mangsa buli.

Dalam sambutan itu, ‘Mr Bean impersonator’ diundang bagi membuat persembahan khas untuk kanak-kanak selain menyampaikan mesej anti buli kepada mereka.

Turut hadir Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan ADN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong.

Hannah berkata, sambutan itu diharapkan dapat memupuk perpaduan pelbagai lapisan kaum di Malaysia sekali gus mendidik kanak-kanak supaya dapat bergaul bersama-sama tanpa mengira kaum.

“Saya juga ingin cadangkan satu kementerian khas untuk memperjuangkan hak dan isu kanak-kanak diwujudkan kerana mereka ini ialah pelapis generasi akan datang,” katanya.

=EZY=