Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sewa Rumah Selangorku, pemilik bakal didakwa

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 DIS: Kerajaan Negeri sedang mempertimbang tindakan undang-undang kepada pemilik Rumah Selangorku yang menyewakan kediaman mereka hanya beberapa tahun setelah dibeli.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, beliau menerima laporan berkenaan perkara itu dan memandang serius tindakan terbabit kerana Rumah Selangorku dijual dengan harga di bawah kos pembinaannya.

Katanya, tindakan pembeli Rumah Selangorku yang menyewakannya untuk keuntungan adalah tidak bertanggungjawab kerana menafikan hak orang lain untuk membelinya.

“Saya sudah memohon kepada Kamar Penasihat Undang-Undang Selangor dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk mengkaji tindakan yang boleh diambil terhadap mereka seperti merampas rumah terbabit.

“Jika ini tidak dapat dilakukan, maka nama mereka terbabit mungkin akan disebar luas kepada umum kerana Kerajaan Negeri amat teliti dalam pemilihan pembeli Rumah Selangorku.

“Pemilihan berdasarkan sistem merit yang mengambil kira umur, pendapatan bulanan, taraf perkahwinan, jenis kediaman sekarang dan jenis majikan. Pemaju tidak boleh sesuka hati menjual Rumah Selangorku kepada sesiapa sahaja,” katanya.

Iskandar berkata, Rumah Selangorku Jenis A dijual dengan harga RM42,000 sebuah tetapi kos pembinaannya sehingga RM75,000, sementara Rumah Selangorku Jenis B yang dibina di Bandar Baru Bangi oleh PKNS dijual dengan harga RM99,000 sebuah tetapi dibina dengan kos sehingga RM194,000.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak mahu amalan rumah kos rendah diagihkan kepada pemimpin politik untuk dijual semula atau disewa berulang kembali memandangkan harga pasarannya dianggarkan RM250,000, manakala 142,057 pemohon mendaftar untuk membeli Rumah Selangorku.

“Nama pembeli adalah seperti disediakan LPHS tanpa campur tangan politik, malahan surat sokongan daripada pemimpin politik bukan satu keperluan.

“Dengan keadaan terkini, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan supaya pembeli Rumah Selangorku menandatangani perjanjian tambahan untuk memastikan rumah yang dibeli bagi kegunaan sendiri.

“Kerajaan Negeri pernah sebelum ini memaparkan nama mereka yang ditawarkan Rumah Selangorku pada laman sesawang LPHS supaya ia telus dan memberi peluang kepada mereka yang tidak berpuas hati untuk membuat bantahan. Mungkin ia akan dilaksanakan semula,” katanya.