Categories
SELANGOR

Sampai ke rumah LZS jejak asnaf salur bantuan

 

OLEH NAEEM RAFFI

SEPANG, 12 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) Sepang mengambil pendekatan turun ke rumah asnaf yang tidak hadir ke Program agihan bantuan pendidikan lalu.

Inisiatif itu diambil bagi memastikan setiap mereka yang layak menerima manfaat.

“Mereka tidak dapat hadir ke Program agihan bantuan pendidikan lalu kerana masalah pengangkutan dan keuzuran.

“Kami bawakan terus bantuan ini sampai ke tangan mereka. Kami usahakan sebaik mungkin bagi memastikan persiapan persekolahan anak-anak mustahiq terbela dan lengkap,” tulis LZS dalam laman facebooknya.

LZS turut mendoakan penerima agihan zakat bagi persekolahan itu berjaya di dunia dan akhirat.

Terdahulu, LZS memperuntukkan RM28.2 juta bagi membiayai persiapan sekolah sesi 2018 kepada 49,773 anak-anak asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid berkata, agihan bantuan itu diberikan kepada 22,505 keluarga merangkumi 5,540 keluarga fakir dan 16,965 keluarga miskin.

“Daripada nilai bantuan disalurkan itu, RM6.8 juta bagi keluarga fakir manakala RM21.4 juta bagi keluarga miskin.

“Penerima bantuan ini terdiri dari 909 pelajar tadika, 22,667 pelajar sekolah kebangsaan dan 26,197 pelajar sekolah menengah.

“Bantuan diagihkan dalam dua kaedah bayaran iaitu memasukkan wang ke akaun ketua keluarga asnaf fakir miskin atau menggunakan kaedah V-Cash (baucer tunai),” katanya.