Categories
SUKANKINI

Stadium Shah Alam: Belum ada keputusan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 DIS: Kerajaan Negeri belum memutuskan status penggunaan Stadium Shah Alam bagi tahun depan, namun ia masih kekal sebagai venue rasmi PKNS FC seperti Liga Malaysia (Liga-M) musim lalu.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, berdasarkan keputusan dibuat Kerajaan Negeri sebelumnya, maka ia kekal sebagai gelanggang PKNS FC selaku tuan rumah.

“Pada musim lalu, Stadium Shah Alam digunakan PKNS FC dan Kerajaan Negeri belum mengubah sebarang keputusan.

“Liga-M akan bermula pada Februari tahun depan, masih ada masa untuk perbincangan,” katanya sebagai reaksi kepada permintaan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) supaya membenarkan Selangor menggunakan Stadium Shah Alam untuk saingan Liga Super 2018.

Amirudin berkata, beliau tidak boleh membuat keputusan berkenaan perkara itu dan perlu dibawa ke pengetahuan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali serta pengurusan Kerajaan Negeri untuk perbincangan lanjut.

Bagaimanapun, beliau membayangkan situasi sukar kerana FAS sebelum ini tidak bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Negeri.

“Prinsip kita, kita akan memberikan kepada mereka yang bekerjasama baik dengan kita,” katanya.

Baru-baru ini, Presiden FAS, Datuk Seri Subahan Kamal dalam kenyataannya berharap Kerajaan Negeri membenarkan Selangor menggunakan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi bagi Liga-M 2018.

Untuk saingan liga musim ini, Stadium Majlis Perbandaran Selayang menjadi venue rasmi The Red Giants.