Categories
PBT SELANGOR

Giliran MDKS lafaz Ikrar Bebas Rasuah

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 4 DIS: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) meneruskan komitmen mencegah rasuah dan salah guna kuasa dalam keseluruhan operasi juga pengurusannya menerusi Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan MDKS, Mohamad Yusli Askandar berkata, ia merupakan komitmen berterusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu meningkatkan tahap kesedaran serta kefahaman berkenaan integriti dalam bidang pekerjaan.

Katanya, ia juga bertujuan meningkatkan komitmen warga kerja terhadap peranan yang boleh dimainkan, khususnya membanteras gejala rasuah.

“MDKS sentiasa mengambil berat isu berkenaan rasuah dan sehingga kini kami masih dapat mengawal daripada berlakunya aktiviti berunsur rasuah.

“Penting untuk setiap kakitangan mematuhi peraturan dan prosedur kerja ditetapkan supaya tidak menghasilkan tanggapan negatif masyarakat,” katanya.

Terdahulu, warga MDKS melafaz IBR diketuai Mohamad Yusli dengan disaksikan Timbalan Pengarah Operasi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Hairuzam Mohamad Amin.

Mohamad Yusli berkata, MDKS turut mewujudkan Saluran Integriti MDKS untuk orang awam menyalurkan aduan secara terus kepada PBT berkenaan.

Katanya, orang ramai juga boleh membuat aduan berkenaan salah laku rasuah atau disiplin membabitkan kakitangan MDKS di [email protected].