Categories
AGAMA BERITA UTAMA SELANGOR

Sunathon Perdana Worldwide Holdings, rai anak asnaf

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 2 DIS: Seramai lebih kurang 106 anak asnaf daripada 150 kanak-kanak diraikan dalam Program Sunathon Perdana anjuran Worldwide Holdings Berhad (WHB) di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini, hari ini.

Program tahunan WHB bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS) di daerah Petaling itu juga mendapat kerjasama Persatuan Doktor Islam Malaysia (PERDIM) yang bertanggungjawab melaksanakan prosedur khatan untuk semua kanak-kanak itu.

Ketua Komunikasi Korporat WHB, Ami Nardin Ishak, berkata program itu bertujuan menghidupkan tradisi berkhatan secara beramai-ramai yang menjadi tradisi masyarakat Melayu selain menampung kos berkhatan anak asnaf bagi daerah berkenaan.

“Ia antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kita yang berterusan di mana setiap tahun mengambil bahagian dengan LZS bagi meraikan anak asnaf.

“Selain wang zakat, WHB melalui anak syarikat, Worldwide Medivest Sdn Bhd (WMSB) juga menyumbangkan produk perubatan jenama VESTI untuk digunakan doktor untuk program ini,” katanya kepada media.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Abdul Basith Hamid berkata, ia diadakan bagi memudahkan urusan berkhatan anak asnaf, fakir miskin dan mualaf di Selangor.

“Pada tahun ini, kita menganjurkan di semua daerah membabitkan tidak kurang 530 anak asnaf yang telah berdaftar sehingga kini.

“LZS mengadakannya dengan wang zakat daripada pengeluar zakat di mana salah satunya ialah WHB dan keseluruhan kos program di masjid ini disumbangkan WHB,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, LZS memperuntukkan tidak kurang RM200,000 untuk program sunathon bagi seluruh Selangor.

“Program ini kita mulakan di Kuala Selangor, semalam diikuti hari ini di sini, insyaAllah kita akan selesaikan sebelum pertengahan Disember kerana ia memerlukan dua minggu untuk proses pemulihan,” katanya.

=EZY=