Categories
SELANGOR

Yayasan Selangor prihatin emosi dan tekanan kerja kakitangan

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 23 DIS: Walaupun kejayaan sesebuah organisasi hanya boleh tercapai melalui usaha gigih warga kerjanya, namun aspek pengurusan emosi dan tekanan di tempat kerja tidak boleh dipandang ringan.

Pemangku Pengurus Besar Yayasan Selangor, Zahura Zakry berkata, hal itu ekoran kegagalan menguruskan emosi dan tekanan di tempat kerja mampu menjejaskan prestasi kakitangan, sekali gus memberi kesan terhadap organisasi terbabit.

“Dalam kita mengejar kecemerlangan bagi memastikan tahap perkhidmatan diberi memenuhi tuntutan ‘stake holder’ dan pelanggan Yayasan Selangor yang semakin meningkat, janganlah kita memandang enteng terhadap pengurusan emosi serta tekanan di tempat kerja.

“Justeru, saya menyeru amalan sikap seronok berkerja, bertanggungjawab dan integiriti dibudayakan dengan mengamalkan sikap penuh amanah serta bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Anugerah Perkhimatan Cemerlang Yayasan Selangor 2015/2016, di Crystal Crown Hotel, di sini, malam tadi.

Zahura berkata, globalisasi dan tuntuan kerja yang memerlukan tindakan diambil dalam tempoh masa sebenar atau ‘real time’ memerlukan modal insan dinamik, responsif juga cekal.

Katanya, warga kerja Yayasan Selangor perlu berfikiran lebih terbuka, bersikap inovatif dan kreatif serta berkebolehan mencipta nilai melalui perubahan.

“Slogan Merakyatkan Pendidikan Selangor seperti dibentangkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali merupakan cabaran yang perlu disahut Yayasan Selangor.

“Pelbagai insentif bakal dilaksanakan Kerajaan Negeri ini tidak akan berjaya tanpa sokongan dan kerjasama semua terutama warga kerja di Yayasan Selangor,” katanya.