Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

259 pelajar, guru, sekolah mangsa bah terima bantuan Yayasan Selangor

SHAH ALAM, 4 MAC : Yayasan Selangor memperuntukkan RM72,500 sebagai bantuan kepada pelajar, guru dan sekolah terjejas banjir pada Disember lalu.

Menurut agensi itu, bantuan itu disalurkan kepada 244 pelajar dan tujuh guru serta lapan sekolah di bawah tajaannya di negeri ini.

“Walaupun tragedi bah sudah lama berlalu, pihak kami amat bersimpati dan terpanggil untuk meringankan beban pelajar, keluarga, guru dan sekolah yang ditimpa bencana itu.

“Justeru, hasil sokongan dan sumbangan rakan yayasan serta pihak korporat yang prihatin, Yayasan Selangor berjaya mengumpulkan dana sejumlah RM72,500 untuk disalurkan kepada mangsa terlibat,” kata kenyataan tersebut.

Katanya, pihaknya turut berterima kasih kepada Yayasan Kelantan Darulnaim dan TWA (Malaysia) Sdn Bhd yang memberi sumbangan bagi membantu mangsa bah di Selangor.

Pengarah Yayasan Kelantan Darulnaim Azi Rahimee Mohammed berkata, pihaknya berharap bantuan itu dapat meringankan beban penerima khususnya membuat persiapan persekolahan yang bakal dibuka tidak lama lagi.

Sebanyak RM56,000 wang sumbangan diserahkan kepada wakil Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, manakala RM16,500 lagi kepada Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor pada 1 Mac lalu, untuk diagih kepada mangsa terbabit.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yayasan Selangor sedia 389 tempat, tawar biasiswa pelajar tingkatan satu

SHAH ALAM, 24 JAN: Permohonan kemasukan pelajar tingkatan satu 2022 bawah Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia-Yayasan Selangor (RKPYS) dibuka mulai esok.

Sebanyak 389 tempat disediakan meliputi 29 sekolah di Selangor dan Kuala Lumpur yang turut menawarkan asrama, biasiswa dan kelas bimbingan, maklum Yayasan Selangor dalam kenyataan.

Menurutnya, pelajar juga bakal mengikuti program kecemerlangan akademik, pembangunan kendiri dan pemantauan berterusan daripada guru yang dilantik.

“Semua murid tahun enam (2021) negeri Selangor yang berkelayakan dipersilakan untuk memohon tertakluk kepada syarat dan had kuota yang ditetapkan,” kata yayasan itu.

Tambahnya, permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan www.yayasanselangor.org.my dan kemudian mencetak borang tersebut serta dihantar bersama dokumen yang diperlukan.

Serahan ke Bahagian Hal Ehwal Pelajar Yayasan Selangor boleh dibuat melalui serahan tangan atau pos sebelum atau pada 11 Februari 2022.

Kriteria ditetapkan seperti berikut:

  1. Mendapat sekurang-kurangnya TP 3 dalam semua mata pelajaran Pentaksiran Bilik Darjah Tahun 6 di sekolah rendah
  2. Bersekolah rendah bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau sekolah rendah swasta berdaftar bawah KPM (keutamaan kepada murid luar bandar)
  3. Pemohon atau ibu atau bapa lahir di Selangor atau bermastautin sekurang-kurangnya 10 tahun
  4. Pemohon dari keluarga yang mempunyai pendapatan perkapita (pendapatan ibu bapa bahagi jumlah isi rumah) kurang daripada RM2,000 sebulan
  5. Pemohon, ibu dan bapa adalah warganegara Malaysia
  6. Pemohon sihat fizikal, mental dan emosi dengan mendapat pengesahan doktor. Pemohon tidak cacat fizikal yang menyukarkan bergerak atau berjalan seperti naik turun bas, bersukan dan lain-lain

 

Categories
AGENSI SELANGOR

322 pelajar Yayasan Selangor peroleh 5A SPM 2020, capaian terbaik sejak 2016

SHAH ALAM, 30 DIS: Seramai 322 orang atau 6.4 peratus pelajar tajaan Yayasan Selangor mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) 5A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Pengarah Kanan Pendidikannya Zahura Zakry berkata peningkatan sebanyak 2.4 peratus itu merupakan pencapaian terbaik sejak 2016.

“Syabas diucapkan atas kecemerlangan keputusan SPM 2020 walaupun murid menghadapi pelbagai cabaran berikutan pandemik covid-19,” katanya pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2019/2020 secara maya hari ini.

Beliau menambah prestasi murid Program Hipers juga menunjukkan peningkatan walaupun tidak mencapai KPI yang ditetapkan.

“Pencapaian 4A dan ke atas meningkat 4.6 peratus berbanding 2019.

“Manakala 57.8 peratus atau 144 murid berjaya peroleh 4A dan ke atas walapupun murid menghadapi pelbagai cabaran sebelum menduduki SPM,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Yayasan Selangor perlu sedia jadi penggerak utama pendidikan negeri

SHAH ALAM, 18 OKT: Dato’ Menteri Besar mahu Yayasan Selangor menjadi penggerak utama pendidikan negeri ini seterusnya landasan dalam gagasan Selangor Negeri Pintar 2025.

Yayasan Selangor memaklumkan perkara itu dinyatakan Dato’ Seri Amirudin Shari pada Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Selangor Tahun 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 8 Oktober lalu.

Menurutnya mengikut perancangan, bantuan program pendidikan dikendalikan semua agensi di bawah Kerajaan Negeri akan diselaras semula di mana Yayasan Selangor menjadi penggerak utamanya.

“Bantuan dan program pendidikan seperti tadika, program tuisyen rakyat untuk golongan B40, sehinggalah ke program Bitara di mana pencarian ‘the best brain in Selangor’ akan dikenal pasti dan dikendali Yayasan Selangor kelak.

“Melalui program Bitara ini pelajar terpilih akan dibiaya dari peringkat sekolah menengah sehingga pendidikan tertinggi peringkat sarjana dan doktor falsafah dengan nilai tajaan sehingga RM1.5 juta seorang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu Dato’ Menteri Besar juga mahu perhatian diberi kepada penyusunan semula aset-aset milik Yayasan Selangor yang kini dihambat beberapa limitasi dan situasi lebih kompleks, berbanding tahun-tahun terdahulu.

“Justeru, Yayasan Selangor akan melantik pasukan atau badan profesional tertentu untuk mentadbir dan mengurus aset-aset ini dengan lebih baik, agar dapat menjana pendapatan lebih tinggi, mapan dan cekap.

“Hasil pendapatan ini akan memberi manfaat dan dinikmati rakyat negeri Selangor melalui program dan inisiatif pendidikan yang dianjurkan Yayasan Selangor,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Jangan lepas peluang mohon bantuan pinjaman pelajaran Yayasan Selangor

SHAH ALAM, 28 SEPT: Warga Selangor diminta supaya tidak melepaskan peluang memohon bantuan pembiayaan Pinjaman Pelajaran Boleh Ubah yang akan ditutup 30 September ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan Yayasan Selangor itu ditawarkan kepada penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta milik Kerajaan Selangor.

“(Pinjaman) pelajaran boleh ubah ini menawarkan pengecualian bayaran balik 50 peratus atau 100 peratus bagi mana-mana anak Selangor yang dapat menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang,” tulisnya di Twitter.

Sebelum ini, Yayasan Selangor memaklumkan permohonan terbuka kepada mereka yang sedang belajar atau menerima tawaran pengajian sepenuh masa peringkat diploma atau ijazah sarjana muda.

Pembiayaan dikhususkan hanya kepada pemohon warganegara Malaysia dan rakyat Selangor yang memenuhi syarat ditetapkan.

Permohonan bantuan yang dibuka sejak 1 September boleh dibuat melalui laman sesawang www.yayasanselangor.org.my.

Pada 29 April, Yayasan Selangor menjalin kerjasama dengan 18 agensi awam, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi melaksana pelbagai program pendidikan selaras wawasan negeri pintar 2025.

Categories
AGENDA NASIONAL

Yayasan Selangor tawar pinjaman pengajian diploma, ijazah sarjana muda

SHAH ALAM, 31 OGOS: Yayasan Selangor menawarkan bantuan pembiayaan Pinjaman Pelajaran Boleh Ubah sesi September yang dibuka bermula esok.

Agensi itu memaklumkan permohonan terbuka kepada mereka yang sedang belajar atau menerima tawaran pengajian sepenuh masa peringkat diploma atau ijazah sarjana muda di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (milik Kerajaan Selangor) diiktiraf kerajaan.

“Pembiayaan yang ditawarkan adalah dalam bentuk pinjaman pelajaran boleh ubah tanpa faedah dikhususkan hanya kepada pemohon warganegara Malaysia dan rakyat Selangor yang memenuhi syarat ditetapkan.

“Pemegang Pinjaman Pelajaran Boleh Ubah berpeluang mendapat pengecualian bayaran balik pinjaman pelajaran sehingga 100 peratus daripada jumlah pembiayaan.

“Pengecualian itu sekiranya pemegang pinjaman menamatkan pengajian dengan cemerlang pada peringkat ijazah sarjana muda dalam tempoh yang sepatutnya, tertakluk kepada terma dan syarat,” katanya menerusi kenyataan.

Tawaran dibuka bermula 1 sehingga 30 September 2021.  Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web rasmi Yayasan Selangor www.yayasanselangor.org.my.

Pada 29 April, Yayasan Selangor menjalin kerjasama dengan 18 agensi awam, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi melaksana pelbagai program pendidikan selaras wawasan negeri pintar 2025.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Pelajar Yayasan Selangor dipelawa sertai pertandingan cipta video merdeka

SHAH ALAM, 20 OGOS: Pelajar tajaan Yayasan Selangor (YS) berpeluang menang hadiah wang tunai keseluruhan RM1,700 dalam pertandingan menghasilkan video pendek sempena bulan kemerdekaan negara ke-64.

Berdasarkan perkongsian agensi itu menerusi Facebook, johan pertandingan mendapat RM500, pemenang kedua RM300 diikuti ketiga RM200 manakala tujuh lagi peserta menerima sagu hati RM100 setiap seorang.

Cara penyertaan adalah peserta perlu menekan tanda suka dan mengikuti Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube rasmi YS melalui pautan:https://linktr.ee/yayasanselangor.

Syarat lain peserta perlu menghasilkan video selama tiga minit bertema kemerdekaan sama ada bentuk lakonan, nyanyian, puisi, syair, sajak dan rap.

Video kemudian dihantar ke e-mel [email protected] dan tarikh tutup penyertaan pada 27 Ogos

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://bit.ly/3CtIRpS

Categories
SELANGOR

Pelajar lega tangguh bayaran balik pinjaman Yayasan Selangor

SHAH ALAM, 10 JUN: Pengumuman penangguhan bayaran balik pinjaman tajaan Yayasan Selangor memberi kelegaan kepada mahasiswa.

Salah seorang peminjam, Siti Aisyah Mohd Shah, 24, merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana prihatin terhadap golongan mahasiswa.

“Terima kasih Kerajaan Selangor, keputusan menangguhkan bayaran pinjaman ini beri peluang kepada saya untuk membelanjakan duit tersebut bagi keperluan lain,” kata pelajar Universiti Malaya itu ketika dihubungi.

Pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman, Brennen Joseph Maria, 24, pula berkata penangguhan itu memberi peluang untuk beliau dan rakan yang lain mendapat pekerjaan terlebih dahulu.

“Saya bimbang jika gagal mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian nanti kerana ketika ini lebih banyak syarikat buang pekerja berbanding menawarkan pekerjaan,” katanya.

Pelajar Universiti Selangor, Nurzahirah Abdul Rasid, 25, berkata penangguhan itu memberi ruang dan masa untuk mendapat pekerjaan tanpa risau mengenai hutang pengajian.

“Penangguhan ini sedikit sebanyak memberi kami ruang dan masa untuk terus berusaha mendapat pekerjaan,” katanya.

Semalam, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penangguhan pembayaran balik kepada 286 pelajar tajaan Yayasan Selangor yang menamatkan pelajaran pada tahun ini kepada bulan Januari 2022.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKP: Yayasan Selangor tutup pejabat mulai esok

SHAH ALAM, 31 MEI: Yayasan Selangor akan menutup pejabatnya selama dua minggu bermula esok hingga 14 Jun ini.

Yayasan memaklumkan penutupan itu selaras pelaksanaan fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara.

“Sepanjang tempoh PKP dikuatkuasakan, semua warga kerja akan melaksanakan bekerja dari rumah,” menurut hebahannya hari ini.

Sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan pendidikan, orang ramai boleh merujuk Pengarah Kanan Pendidikan Zahura Zakry di talian 019-6459975 atau Pengurus Hal Ehwal Pelajar Rosmaria Hani Maarof (019-3810870).

Maklumat lain boleh dirujuk di laman sesawang rasmi http://www.yayasanselangor.org.my atau pautan http://yayasanselangor.org.my/hubungi-kami/.

Categories
AGENDA NASIONAL

Yayasan Selangor sumbang RM10,000 untuk Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin

SHAH ALAM, 25 MEI: Persatuan Kebajikan, Sukan dan Kebudayaan Kakitangan Yayasan Selangor (PKSKKYS) dan Yayasan Selangor menyumbang RM10,000 untuk Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin.

Persatuan itu berkata sumbangan untuk rakyat Palestin diserahkan kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari semalam.

“Warga PKSKKYS dan Yayasan Selangor terpanggil dan amat bersimpati dengan keperitan dan kesedihan yang ditanggung rakyat Palestin.

“Usaha mengumpul sumbangan ini sebagai tanda solidariti dan kepedulian kami semua kepada Palestin,” katanya menerusi kenyataan.

Kerajaan Negeri melancar Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin untuk rakyat Palestin dengan sasaran kutipan RM1 juta dalam tempoh 10 hari.

Dato’ Menteri Besar berkata sejumlah RM223,957.77 berjaya dikutip setakat semalam sejak tabung dibuka pada 19 Mei lepas.

Sumbangan boleh dibuat melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Yayasan Selangor tawar pembiayaan komputer riba untuk pelajar IPT

SHAH ALAM, 30 APRIL: Yayasan Selangor menawarkan pembiayaan pembelian komputer riba kepada pelajar tajaannya bagi pengambilan sesi akan datang.

Pengarah Kanan Pendidikannya Zahura Zakry berkata penajaan melalui Pakej Pembiayaan Pendidikan itu ditawarkan khusus kepada penuntut di institusi pengajian tinggi.

“Kita datangkan pakej ini selepas mengenal pasti terdapat pelajar di Universiti Utara Malaysia (UUM) memerlukan peranti tersebut untuk mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian.

“Sebagai contoh, pelajar diploma memohon pinjaman sebanyak RM20,000 dan harga seunit komputer riba adalah RM3,000, jadi keseluruhan pembiayaan mereka berjumlah RM23,000,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis memeterai kerjasama program pendidikan sempena ulang tahun ke-50 Yayasan Selangor di kediaman Dato’ Menteri Besar di sini pada Rabu.

Zahura berkata permohonan mendapatkan peranti itu adalah bergantung kepada pelajar sama ada mereka berminat atau sebaliknya tanpa sebarang paksaan.

“Ia terpulang kepada pelajar itu sendiri kerana kita bukan mahu mengambil keuntungan tetapi berniat untuk membantu mereka yang memerlukan kemudahan ini,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Lapan pelajar tajaan Yayasan Selangor terima komputer riba

SHAH ALAM, 29 APRIL: Yayasan Selangor menyumbang komputer riba kepada lapan pelajar tajaannya yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pengarah kanan pendidikannya berkata sumbangan menerusi program Laptop4U memudahkan pelajar terbabit mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara dalam talian selain membantu melaksanakan tugasan.

“Kita kenal pasti mereka tidak memiliki komputer riba sehingga sukar untuk belajar. Peralatan ini diagih secara berperingkat dan mungkin akan dibuat lagi dengan lebih meluas,” kata Zahura Zakry.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis memeterai kerjasama program pendidikan sempena ulang tahun ke-50 Yayasan Selangor di kediaman Dato’ Menteri Besar di sini semalam.

Sementara itu, penerima K Kavilan, 22, berkata sumbangan tersebut amat bermakna kerana tidak perlu lagi berkongsi peranti dengan abangnya.

Menurut penuntut tahun dua ijazah sarjana muda hal ehwal antarabangsa, dia menghadapi kekangan mengikuti kuliah secara maya dan komputer riba itu akan dimanfaat sebaiknya.

“Terima kasih kepada Yayasan Selangor dan saya berjanji mendapatkan purata nilai mata tinggi dalam peperiksaan serta menjadi pelajar cemerlang,” kata anak bongsu dari tiga beradik.

Seorang lagi penerima, Nur Afikah Karim, 22, menghargai komitmen yayasan dan tidak pernah meminggirkan pelajar tajaannya yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan akses pendidikan dengan baik.

Pelajar semester tiga ijazah sarjana muda pentadbiran muamalat berkata sejak menyambung pengajian di institusi itu, dia menggunakan komputer riba abangnya yang dibeli enam tahun lalu.

“Keadaan itu menyebabkan emosi saya sering terganggu disebabkan komputer riba sering bermasalah sehingga menyukarkan proses pembelajaran,” katanya yang mendapat pembiayaan pendidikan Yayasan Selangor berjumlah RM28,000 bermula tahun lalu.