Categories
BERITA UTAMA NASIONAL SENI

Aisyah: Henti diskriminasi terhadap artis

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 7 JAN: Penyanyi, Aisyah menggesa semua pihak untuk menghentikan diskriminasi diamalkan sekian lama terhadap golongan artis.

Lagenda itu berkata, suara dan pandangan anak seni dalam isu rakyat dan politik tidak seharusnya disekat dan diperlekeh.

Katanya, artis juga berhak untuk menyatakan suara hati mereka terhadap isu yang dirasakan memerlukan perhatian pihak tertentu.

“Saya minta apa juga pegangan artis, janganlah disekat karier mereka sebaliknya berikan mereka peluang untuk terus berkarya sebagaimana orang lain.

“Artis juga rakyat, jadi hormatilah pandangan dan pilihan rakyat tak kira siapa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Konvensyen Pakatan Harapan 2018 di IDCC, di sini, hari ini.

Juara Gegar Vaganza (GV) 4 itu juga mengakui mengambil risiko apabila muncul di pentas konvensyen walaupun beliau baru mula dikenali semula.

“Saya tetap orang seni kerana itulah jiwa saya tetapi saya terpaksa ambil tahu kerana setiap keputusan politik memberi kesan kepada kehidupan seharian kita semua.

“Saya bercakap di sini ketika ini duit kemenangan GV pun tak dapat lagi.

“Jadi kalau selepas ini saya tidak muncul lagi di televisyen tahulah sebabnya kan,” katanya berseloroh.

Terdahulu, Aisyah dinobat sebagai juara GV4 dan menerima hadiah utama berupa wang tunai RM100,000 selain hadiah sampingan lain.

=EZY=