Categories
NASIONAL

Banjir Kelantan: 1,015 murid terjejas

SHAH ALAM, 3 JAN: Seramai 1,015 murid terjejas susulan enam sekolah di Kuala Krai dan Tanah Merah masih ditutup, hari ini ekoran jalan perhubungan terputus selepas dinaiki air.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dalam kenyataan berkata, 119 guru pula perlu melapor diri, di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berhampiran.

Katanya, antara sekolah ditutup membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Bahagia, SK Ladang Taku, SK Pasir Kelang di Kuala Krai dan SK Sokor, SK Ladang Kerilla serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ladang Kerilla, di Tanah Merah.

“Selain jalan perhubungan terputus, paras air sungai meningkat menjadi faktor penutupan sekolah berkenaan kerana membahayakan keselamatan murid dan guru,” kata kenyataan itu.

Memetik laporan BHOnline, satu pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan 43 mangsa di SK Kuala Balah di Jeli malam tadi sudah ditutup, pagi ini.

Manakala PPS di SK Limau Kasturi, Gua Musang masih dibuka sejak kelmarin menempatkan 33 mangsa dari 10 keluarga, setakat jam 10 pagi ini.

Sementara itu, berdasarkan publicinfobanjir.water.gov.my, Sungai Lebir di Kuala Koh yang berada di paras waspada semalam sudah kembali kepada paras normal, manakala Sungai Kelantan di Jeti Kastam pula mencecah paras waspada, pagi ini.

Tiga sungai iaitu Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang dan Dabong; Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai serta Sungai Kelantan di Kuala Krai dan Kusial masih melebihi paras amaran.