Categories
SELANGOR

Pengundi DUN Kinrara lebih tinggi dari kawasan Noh Omar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 JAN: Cadangan persempadanan baru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menyebabkan populasi undi kawasan itu menjadi antara yang terbesar, di negara ini.

Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han berkata, tidak mengejutkan bilangan pengundi di kawasan itu menjadi lebih tinggi berbanding populasi pengundi bagi kawasan Parlimen, di Selangor.

“Jumlah pemilih di Kinrara akan bertambah daripada 35,000 pengundi kepada sekitar 63,000 pengundi.

“Pertambahan secara mendadak ini akan menjadikan Kinrara sebagai antara DUN terbesar di seluruh negara, malah lebih besar (jumlah pengundi) dari empat Parlimen, di Selangor.

“Ini juga termasuk Parlimen Tanjong Karang, milik Tan Sri Noh Omar yang lebih kecil jumlah pengundinya berbanding DUN Kinrara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Hotel Concorde, pagi ini.

Katanya, persempadan baru di kawasan itu juga akan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengundi baru dan lama.

Sze Han berkata, ia ekoran perubahan lokasi mengundi daripada Parlimen Puchong kepada Parlimen Subang.

“DUN Kinrara terletak di bawah Parlimen Puchong dan apabila cadangan persempadanan dibuat, ia akan diletakkan di bawah Parlimen Subang.

“Sedangkan pembangunan di DUN Kinrara sebenarnya mengikut sepanjang Jalan Puchong iaitu dari Batu 7 hingga Batu 14, justeru adalah lebih wajar ia dikekalkan di bawah Parlimen Puchong,” katanya.

Sementara itu, pengundi asal DUN Kinrara, Yap Chee Meng, 45, mengakui wujud kekeliruan terhadap cadangan persempadan baru itu.

“Ini sudah masuk penggal ketiga saya mengundi di DUN ini tetapi jika perubahan diteruskan, ramai pengundi akan keliru dan tidak tahu di mana mereka harus mengundi selepas ini,” katanya.