Categories
NASIONAL

Banjir Kelantan pulih, PPS ditutup

SHAH ALAM, 3 JAN: Banjir di Kelantan dilaporkan sudah pulih dan semua pusat pemindahan sementara (PPS) mula ditutup petang ini.

Berdasarkan portal eBanjir Kelantan, PPS terakhir ditutup pada jam 3 petang tadi adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi, di Gua Musang selepas 33 mangsa dari 10 keluarga sudah dibenarkan pulang.

Sumber berkata, sehingga jam 4 petang tadi dua jambatan di Gua Musang iaitu Jambatan Setelu dan Jambatan Kampung Kerinting masih ditutup kepada semua kenderaan.

Manakala, enam sekolah di Kuala Krai dan Tanah Merah ditutup ekoran jalan perhubungan terputus selepas dinaiki air.

Antara sekolah ditutup, SK Bahagia, SK Ladang Taku dan SK Pasir Kelang di Kuala Krai serta SK Sokor, SK Ladang Kerilla serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ladang Kerilla di Tanah Merah.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menerusi kenyataan berkata, seramai 1,015 murid terjejas dan 119 guru perlu melapor diri di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berhampiran.

Sumber: BH Online