Categories
NASIONAL

Tun M dakwa TN50 ‘ciplak’ Wawasan 2020

SHAH ALAM, 3 JAN: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diperkenalkan Datuk Seri Najib Razak ‘menciplak’ Wawasan 2020.

Beliau mendakwa TN50 secara tidak langsung menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah Najib cuba mengalih perhatian umum ekoran kegagalan merealisasikan konsep Wawasan 2020 yang diperkenalkan sejak awal 90-an.

“Mereka (BN) cuba mengalih pandangan umum daripada Wawasan 2020 yang mana Najib tahu dia tidak akan jadi perdana menteri masa itu.

“Itu sebabnya dia letakkan TN50 ini 30 tahun lebih daripada sekarang,” katanya dalam sidang media di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, lapor Astro Awani.

Dr Mahathir memperkenalkan konsep Wawasan 2020 sebagai usaha menjadikan Malaysia negara perindustrian dan negara maju menjelang 2020 sewaktu menjadi perdana menteri antara 1981 hingga 2003.

Bagaimanapun, Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) itu berkata, gabungan itu mempunyai cara merealisasikan Wawasan 2020 jika memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Kita mempunyai cara untuk menjayakan Wawasan 2020, (tetapi) mungkin terlewat sedikit kerana kita kehilangan hampir sembilan tahun,” katanya merujuk kepada kegagalan pembangkang memenangi PRU, pada 2008.

Terdahulu, Najib menolak pandangan TN50 imeniru konsep Wawasan 2020, sebaliknya menyatakan ia adalah satu kesinambungan.