Categories
SELANGOR

Contohi Selangor bantu kesihatan rakyat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 2 JAN: Kerajaan Persekutuan boleh menjalin kerjasama dengan klinik swasta bagi mengurangkan pembiayaan dan kesesakan rawatan di klinik kerajaan, kata Persatuan Gabungan Perubatan Malaysia (MPCAM).

Timbalan Presiden MPCAM, Dr Raj Kumar Maharajah berkata, pendekatan terbaik yang boleh dilaksanakan antarannya menerusi pelaksanaan Skim Peduli Sihat diperkenalkan Kerajaan Selangor.

“Inisiatif berkebajikan itu diakui sendiri pengamal kesihatan, sekali gus menggesa Putrajaya melaksanakan program sama untuk membantu golongan kurang berkemampuan.

“Perkongsian strategik (awam-swasta) juga penting untuk membantu mengurangkan kesesakan rawatan di klinik kerajaan,” katanya lapor The Malay Mail Online.

Katanya, inisiatif itu juga mampu menawarkan rawatan penjagaan kesihatan pada kadar berpatutan, khususnya kepada kumpulan pendapatan isi rumah 40 peratus bawah (B40) dengan pendapatan bulanan RM2,537 atau kurang.

“Ini lebih jelas apabila baru-baru ini, Kementerian Kesihatan mencadangkan perkongsian awam-swasta untuk memanfaatkan sumber sedia ada oleh sektor swasta yang kurang digunakan,” katanya.

Terdahulu, Skim Peduli Sihat dilaksana Kerajaan Negeri melalui agenda Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) meraih kejayaan apabila mencatat lebih sejuta pendaftaran dalam kalangan rakyat, di Selangor.

Peruntukan RM125 juta disediakan Kerajaan Negeri menyasarkan satu juta rakyat Selangor bakal mendapat manfaat perlindungan kesihatan asas bagi menampung kos sara hidup semasa.

Pelaksanaan skim berkenaan membolehkan rakyat kurang berkemampuan menerima Kad Peduli Sihat bagi mendapatkan pembiayaan rawatan di klinik swasta terpilih.