Categories
SELANGOR

DUN Selat Klang agih sumbangan pakaian sekolah

OLEH SABIRAH AZIZ

KLANG, 2 JAN: Seramai 350 pelajar dalam kalangan anak-anak asnaf, fakir miskin dan anak yatim, di DUN Selat Klang menerima sumbangan pakaian seragam sekolah “Back to School” di Dewan Putra, Kampung Delek Kanan, baru-baru ini.

Ahli Dewan Negeri Selat Klang, Dr Halimah Ali berkata, bantuan itu bagi meringankan beban ibu bapa tidak berkemampuan menyediakan persiapan sekolah anak mereka.

“Terpancar kegembiraan di wajah anak ini sewaktu menerima sumbangan terbabit.

“Semoga mereka semakin rajin dan gigih ke sekolah bagi menimba ilmu,” katanya.

Pada masa sama, Dr Halimah turut meluangkan masa melawat projek pembinaan Masjid Nurul Iman Telok bagi melihat perkembangannya.

Katanya, masjid berkenaan yang kini 60 peratus pembinaannya dijangka siap sepenuhnya, sebelum Ramadhan tahun ini.

“Saya berpesan kepada semua pihak supaya membuat yang terbaik bagi masjid ini kerana ia akan menjadi mercu tanda penting kelak,” katanya.