Categories
SUKANKINI

Dua import Indonesia bakal mantapkan The Red Giants

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 JAN: Jurulatih Selangor, P Maniam yakin kehadian dua pemain import baharu bakal melengkapkan The Red Giants bagi menghadapi kempen liga musim 2018.

Katanya, pihak pengurusan kini sedang melengkapkan dokumen terakhir dua pemain Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Armaiyn bagi memenuhi kuota pemain import.

“Mereka sudah menandatangani kontrak dengan kita. Sekarang ini pihak pengurusan sedang menyelesaikan beberapa perkara.

“Sebaik sahaja mereka tiba, bermakna senarai pemain untuk musim 2018 sudah lengkap,” katanya dipetik mStar Online.

Beliau berkata, Selangor akan kekal dengan empat pemain import, termasuk Willian Pacheco dari Barzil dan Rufino Segovia dari Sepanyol yang kini membuat persediaan bersama pasukan.

Maniam turut melahirkan keyakinan pasukannya mampu bersaing menerusi gandingan empat pemain import bersama pemain tempatan.

Pada masa sama, Selangor dijangka mengadakan perlawanan persahabatan menentang MIFA Jumaat ini bagi menilai perkembangan pasukan, di samping memperbaiki kelemahan sebelum tirai Liga Malaysia 2018 dibuka, pada Februari ini.