OLEH ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 2 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengingatkan masyarakat awam supaya tidak terpengaruh dengan penggunaan logo yang menyerupai logo Pihak Berkuasa Tempatan itu.
Sekretariat Media, Unit Komunikasi Korporat MBPJ dalam kenyataan memaklumkan, wujudnya penggunaan logo serupa yang disalahguna pihak tertentu.
Ia ekoran penularan risalah yang mengandungi logo seakan logo rasmi MBPJ tersebar di sekitar Seksyen 52, Petaling Jaya.
“Bukan sahaja penyalahgunaan logo, malah rekaan bentuk risalah berkenaan juga seperti kertas kompaun yang digunapakai MBPJ.
“Majlis ingin menegaskan kami tidak sekali-kali mempunyai kaitan dengan agensi dan iklan risalah berkenaan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap penggunaan logo serta reka bentuk risalah mengelirukan itu.
“Majlis juga ingin memaklumkan Malaysia Pinjaman Berlesen Agency (MPBA) tidak mempunyai lesen untuk menjalankan sebarang aktiviti perniagaan dan promosi,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, satu laporan polis dibuat supaya tidak timbul kekeliruan dengan kandungan risalah berkenaan, pada 29 Disember lalu.
Orang awam boleh menghubungi MPBJ di talian 03-79563544 sambungan 203/208 atau Faks : 03-79582695 untuk maklumat lanjut.