Categories
SELANGOR

Ceria menjelang hari pertama sekolah

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 2 JAN: Menjelang hari pertama persekolahan 2018 di Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Dato’ Mufti Yusof Sahabuddin, kebanyakan pelajar terutama murid tahun satu kelihatan tenang dan ceria memulakan sesi persekolahan mereka.

Tinjauan SelangorKini mendapati pelajar tahun satu yang baharu memulakan persekolahan ditemani ibu bapa memenuhi ruang perkarangan sekolah untuk menghantar anak mereka.

Sesi persekolahan yang bermula, pada jam 7.30 pagi dan berakhir pada 3.30 petang itu menyaksikan terdapat segelintir ibu bapa terus menghantar anak tanpa menemani mereka, di sekolah.

Bagi seorang pelajar, Harith Amirullah, dia sangat gembira dan teruja apabila masuk ke sekolah serta bertemu rakan baru di dalam kelas.

“Hari ini mak dan ayah datang menghantar saya ke sekolah tetapi saya minta ayah terus balik, tidak perlu temankan sebab saya sudah jumpa ramai kawan di sini.

Seorang lagi pelajar, Sarah Safiyah berkata, dia tidak sabar memulakan sesi pembelajaran di kelas bersama guru dan rakan lain.

“Pagi ini baru belajar satu subjek, saya tidak sabar tunggu cikgu ajar subjek lain pula,” katanya.

Sementara itu, keadaan di kelas menunjukkan guru memulakan sesi persekolah dengan bacaan doa, catatan kehadiran pelajar dan sesi suai kenal antara pelajar dan guru.

Salah seorang guru, Nooraini Afifah berkata, ia adalah pengalaman keduanya mengajar pelajar tahun satu.

“Sebenarnya agak mencabar untuk mengendalikan pelajar tahun satu, namun sebagai guru, kita mesti bijak mengawal tingkah laku mereka dan perlu peka dengan keadaan,” katanya yang mengajar subjek Akhlak.

Terdahulu, sekolah itu mengadakan sesi orientasi kepada pelajar tahun satu, pada 23 Disember lalu bagi melatih pelajar membiasakan diri dengan persekitaran di sekolah.