Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

KISS terima sambutan luar biasa

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 17 JAN: Bakal dilancarkan pada 22 Januari ini, program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) menerima sambutan luar biasa apabila hampir setiap kawasan DUN menerima lebih 1,000 permohonan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan, Haniza Talha berkata, walaupun Kerajaan Negeri hanya menetapkan kuota 500 permohonan di setiap DUN, namun pejabatnya masih menerima permohonan baru sehingga kini.

“Kalau ikot kuota, kawasan saya memang tidak cukup sebab masih ramai pemohon berpendapatan rendah dan sederhana rendah.

“Justeru, saya berharap Kerajaan Negeri boleh meluluskan untuk memberi kuota bagi kawasan DUN yang masih tidak penuh kepada kawasan yang lebih memerlukan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

ADN Rawang, Gan Pei Nei berkata, pejabatnya turut menerima sambutan memberangsangkan.

Katanya, sambutan luar biasa diterima masyarakat membuktikan inisiatif Kerajaan Negeri membantu rakyat bertepatan dengan keadaan ekonomi, hari ini.

“Saya dapat lihat ia satu penambahbaikan kepada program Foodstamp tetapi menerusi KISS, penerima boleh membeli barangan dengan pilihan sendiri seperti barangan kesihatan selain makanan asas,” katanya.

Sementara itu, ADN Dusun Tua, Razaly Hassan berkata, langkah Kerajaan Negeri memperkenalkan program itu memberi harapan besar kepada rakyat selangor yang dibelenggu masalah ekonomi.

“Pada awal program ini diperkenal sahaja kita dapat lihat ramai yang menanti untuk memohon.

“Dalam tempoh seminggu sahaja, permohoanan KISS boleh mencecah lebih 1,000. Jadi, kita menjangkakan program ini akan terus memberi manfaat kepada rakyat Selangor,” katanya.