Categories
AGENDA NASIONAL

Semak penerima KISS, elak individu tidak layak terima manfaat

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kerajaan Negeri menyemak semula senarai penerima Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) bagi memastikan individu layak mendapat manfaat, kata EXCO kebajikan masyarakat.

V Ganabatirau berkata semakan semula senarai penerima bagi memastikan 25,000 kuota hanya diisi oleh individu yang memenuhi kriteria ditetapkan.

“Jumlah penerima KISS setakat 5 Ogos lalu adalah seramai 20,371 iaitu 19,368 penerima KISS manakala 1,363 penerima KISS Ibu Tunggal (KISS-IT),” katanya ketika ucapan penggulungan pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Ganabatirau berkata berhubung pengemaskinian maklumat ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE) seperti nombor telefon hanya boleh dibuat di peringkat pejabat Pusat Khidmat DUN sahaja.

“Pengemaskinian maklumat selain nombor telefon perlu dibuat di peringkatYayasan Warisan Anak Selangor (Yawas)  bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan, penukaran maklumat tanpa pantauan, kecuaian kemasukan data dan lain-lain.

“Kemasukan dan pengemaskinian maklumat bagi ahli yang telah meninggal dunia perlu dibuat di peringkat Yawas bagi memastikan maklumat adalah benar dan tiada sebarang tuntutan dibuat secara berasingan oleh waris tanpa melalui pejabat DUN,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Manfaat Kiss diperluas untuk beli PPE, pelitup muka

SHAH ALAM, 15 JULAI: Manfaat Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss) diperluas untuk pembelian peralatan perlindungan peribadi (PPE), pelitup muka, sarung tangan dan cecair pembasmi kuman.

EXCO kebajikan berkata penambahbaikan bantuan terutama inisiatif untuk golongan wanita yang terjejas akibat Covid-19 kini pada peringkat akhir kelulusan.

“Kerajaan Negeri bersikap terbuka menerima maklum balas daripada pemegang kad bagi kebaikan semua pihak,” kata Dr Siti Mariah Mahmud ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr G Gunaraj berhubung manfaat yang diterima penerima Kiss sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Pada 1 November tahun lalu, Selangor menambah peruntukan program berkenaan sebanyak RM12 juta menjadikan jumlah keseluruhan bagi 2020 meningkat kepada RM62 juta.

Sejak diperkenalkan pada 2017, inisiatif itu memberi manfaat kepada hampir 50,000 wanita di negeri ini.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Proses syarat terima KISS diperketat

OLEH SHEEDA FATHIL

PUCHONG, 14 JULAI: Syarat bagi penerima program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) diperketat untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerimanya.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, pemohon perlu melalui tapisan daripada 18 jabatan kerajaan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Katanya, langkah itu diambil kira selepas pembekuan KISS selama sebulan bermula 15 Jun lalu bagi memberi laluan kepada proses pengemaskinian maklumat penerima.

“Tahun lalu, kira-kira 39,000 wanita menerima bantuan itu, namun selepas kita mengemas kini maklumat hanya kira-kira 11,000 sahaja yang layak.

“Kita mahu memastikan ketulusan dalam menerima bantuan itu. Sebab ada yang kita kesan mereka yang menerima KISS mempunyai lebih daripada satu aset seperti rumah dan kereta terutama yang bekerja sendiri.

“Selain itu, langkah ini juga bagi mendidik mereka yang tidak sepatutnya menerima bantuan itu tidak mengambil hak orang yang lebih layak menerimanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Mega Cari dan Musnah Aedes Selangor peringkat Majlis Perbandaran Subang Jaya 2019, di Puchong Utama Court 2, di sini hari ini.

Pada masa sama, Siti Mariah berkata, penerima untuk program itu perlu bermastautin di Selangor dan menjadi pengundi di negeri ini selain mempunyai anak di bawah usia 21 tahun.

“Selepas kelayakan itu disemak, kita akan menyemak pula pendapatan isi rumah mereka iaitu antara RM1,500 sehingga RM2,000 dan perlu tersenarai dalam Bantuan Sara Hidup,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga berusaha menawarkan latihan kemahiran kepada ibu yang menerima bantuan itu supaya mereka boleh menambah pendapatan sendiri tanpa terus berharap kepada bantuan kerajaan.

KISS adalah bantuan bulanan RM200 kepada ibu di Selangor dan boleh diguna di kedai serta pasar raya berdaftar menggunakan urusniaga pembelian barangan keperluan asas secara tanpa tunai.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor tangguh kemas kini KISS sempena Aidilfitri

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 31 MEI: Penerima Inisiatif Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) masih boleh menggunakan kad berkenaan sehingga 14 Jun ini, sebagai persiapan menyambut Aidilfitri, sebelum proses kemas kini data dijalankan tidak lama lagi.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat setelah Kerajaan Negeri bersetuju menangguhkan tarikh pengemaskinian kepada 15 Jun sehingga 15 Julai 2019.

“Setelah proses pengemaskinian selesai, penerima KISS yang tersenarai di dalam eKasih atau senarai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) boleh terus menggunakan kad KISS dengan jumlah manfaat sama.

“Kerajaan Negeri membelanjakan RM107 juta bagi manfaat KISS sejak pelaksanaannya pada 2018 dan akan terus komited meneruskan inisiatif ini,” katanya dalam kenyataan.

Amirudin berkata, pada 26 April lalu Kerajaan Negeri mengumumkan langkah mengemas kini maklumat penerima KISS bagi memastikan bantuan terbabit diterima golongan yang benar-benar memerlukan.

“Proses kemas kini itu akan dilakukan Selcare Management Sdn Bhd (SELCARE) dan akan mengambil masa selama sebulan.

“Oleh itu, dalam tempoh pengemaskinian, penggunaan kad KISS akan dibekukan sementara bagi membantu SELCARE mengemas kini maklumat dengan lebih tepat,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Pemutihan penerima KISS selaras penjajaran IPR

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 MAC: Langkah pemutihan bagi penerima bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) sedang dijalankan Kerajaan Negeri selaras penjajaran program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) secara keseluruhan.

EXCO Kesihatan, Kebajikan dan Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, pelaksanaan itu termasuk penerima KISS melalui kerjasama komprehensif dengan jabatan di peringkat persekutuan yang mempunyai sistem pangkalan data.

Menurutnya, sistem berkenaan boleh dimanfaat dan dimaksimakan penggunaan bagi tujuan verifikasi pendapatan di peringkat Kerajaan Negeri.

“Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) bersetuju membuat semakan silang senarai penerima KISS sedia ada dengan sistem di bawah kendalian ICU JPM yang merupakan sebuah Pangkalan Data Kemiskinan Nasional iaitu Sistem eKasih.

“Manakala, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga bersetuju membuat semakan silang secara holistik bukan sahaja melalui Bantuan Sara Hidup (BSH) tetapi juga semakan silang bersama 17 agensi kerajaan lain,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib, Hasnul Baharuddin, di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Pada masa sama, Dr Mariah yang juga ADN Seri Serdang menjelaskan, pemberian KISS masih diteruskan seperti biasa dan tiada isu pembekuan sementara kad KISS bagi mengatasi masalah teknikal itu.

Katanya, langkah susulan akan dibuat dengan pemakluman melalui surat kepada penerima KISS termasuk taklimat kepada semua pejabat ADN selepas pihaknya memperoleh hasil semakan silang daripada agensi berkaitan.

“Langkah pemutihan ini juga dimuktamadkan pada sesi Retreat EXCO Kerajaan Negeri yang bakal diadakan, pada 31 Mac hingga 2 April ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

KISS kekal tapi perlu mohon e-kasih

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 DIS: Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) akan diteruskan sehingga tahun hadapan, namun pemohon diingatkan supaya membuat permohonan melalui e-kasih.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, permohonan itu bagi membolehkan penerima terus kekal menerima bantuan terbabit.

“Jika anda tidak memohon di bawah e-kasih, nama mungkin akan digugurkan pada tempoh masa separuh tahun akan datang,” katanya ketika sesi pertanyaan mulut pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan dan menyambut baik cadangan lain yang bersesuaian untuk menyalurkan bantuan terbabit kepada pihak yang layak.

“Ia adalah mengikut keperluan dan kebertanggungjawaban pemohon untuk telus dalam memberikan maklumat diri kepada setiap permohonan program bantuan yang disediakan Kerajaan Negeri,” katanya.

Sebelum ini, melalui Belanjawan Selangor 2019, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengumumkan Kerajaan Negeri akan meneruskan Program KISS dengan peruntukan RM50 juta.

KISS adalah program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat yang mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan rakyat, di negara ini dan khasnya Selangor, dengan memberi manfaat kepada 40,000 ibu, di seluruh negeri.

Categories
SELANGOR

Teruskan KISS, perhalusi syarat kelayakan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 NOV: Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang diwujudkan khas untuk memberdaya wanita wajar diteruskan, namun syarat kelayakannya perlu diperhalusi.

Ahli Dewan Negeri Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, ia bagi memastikan manfaat skim berkenaan sampai kepada golongan sasar yang benar-benar layak.

Beliau juga optimis skim berkenaan diteruskan sekurang-kurangnya setahun lagi.

“Apabila ekonomi sudah stabil, kita mungkin boleh memperlahankan pemberian KISS, sekali gus membantu mereka yang kurang berkemampuan dengan cara lain,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau juga optimis program anjuran Pusat Wanita Berdaya (PWB) lebih dipelbagaikan dengan aktiviti yang mampu memperkasa golongan terbabit, pada masa depan.

“Saya berharap Kerajaan Negeri kekalkan PWB dengan pelbagai program yang lebih menarik kerana ia sedikit sebanyak membantu golongan ini mengisi masa dengan aktiviti berfaedah selain duduk sahaja di rumah,” katanya.

KISS adalah inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk memberdaya golongan wanita dengan pemberian RM2,400 setahun atau RM200 sebulan untuk mereka membeli barang keperluan seperti bekalan makanan asas, peralatan juga pakaian sekolah.

Manakala, PWB dilaksanakan demi memberdaya penyertaan wanita dalam ekonomi sebagai tenaga kerja mahir, usahawan dan pakar teknologi serta melahirkan wanita Selangor yang berdaya untuk membangun sebuah masyarakat maju dan progresif.

Categories
SELANGOR

692 wanita DUN Paya Jaras terima KISS

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 OKT: Seramai 692 wanita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras menerima kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), pada 29 September lalu.

Majlis penyerahan itu disampaikan Ahli Dewan Negerinya, Mohd Khairudin Othman di Tapak Parkir Econsave, Bandar Baru Sungai Buloh, di sini.

Mohd Khairudin dalam ucapannya turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk yang setia menunggu kelulusan dan kakitangan pejabat wakil rakyat yang bertungkus-lumus menguruskan permohonan.

“Kepada yang sudah menerima kad KISS, jaga dengan elok jangan sampai hilang dan gunakan secara berhikmah, terima kasih sekali lagi kerana bersabar,” tulisnya di laman Facebook.

KISS diperkenalkan melalui Belanjawan 2018 oleh mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang membolehkan golongan yang layak menerima RM2,400 setahun atau RM200 setiap bulan.

Program itu memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 golongan ibu, termasuk mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta pakaian sekolah untuk anak di pasar raya juga kedai runcit terpilih.

Peserta KISS boleh mendapat bekalan berkenaan di lebih 500 pasar raya dan kedai runcit berdaftar seperti Giant Hypermarket, 99 Speedmart serta Pusat Pakaian Hari-Hari.

Categories
SELANGOR

MB: Pendekatan baharu perkasa pelaksanaan KISS

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BATU CAVES, 16 SEPT: Kerajaan Negeri akan mengambil pendekatan baharu bagi memperkasa agenda pelaksanaan program Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu kerana pihaknya menerima beberapa maklum balas terdapat lebihan permohonan, walaupun program berkenaan sudah ditutup selepas mencapai sasaran ditetapkan dalam belanjawan tahun ini iaitu 40,000 penerima.

Bagaimanapun katanya, kuota permohonan KISS sudah memenuhi jumlah maksimum walaupun ia diakui menerima sambutan menggalakkan daripada kaum ibu, di Selangor.

“Kerajaan Negeri menetapkan tiada tambahan bajet tahun ini, tetapi kita akan akan melihat kaedah dapatan sumber lain seperti sokongan dana daripada anak syarikat bagi menampung kekurangan dan lebihan permohonan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas Majlis Perasmian Hari Malaysia, di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kertas, di sini, hari ini.

Sebelum itu, EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud menegur sesetengah pihak yang dilihat cuba mengeksploitasi inisiatif KISS untuk kepentingan tertentu.

Katanya, permohonan program bantuan KISS itu ditutup memandangkan sudah memenuhi kuota 40,000 pemohon seperti peruntukan dalam belanjawan lalu.

Perkara itu harus dihentikan kerana bakal mengundang persepsi negatif terhadap Ahli Dewan Negeri (ADN) yang sepatutnya berperanan meluluskan permohonan terbabit.

Mariah turut memberi amaran untuk memperketatkan syarat permohonan supaya tidak membenarkan aktivis-aktivis menawarkan permohonan secara terus kepada pemohon jika eksploitasi itu berterusan.

Mengulas berhubung peruntukan bajet tambahan tahun hadapan, Amirudin berkata, tiada jaminan mengenai perkara terbabit memandangkan Kerajaan Negeri masih di peringkat penyelarasan program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Kita masih dalam proses timbal balik secara keseluruhan untuk semua program IPR bagi mengoptimumkan keberkesanannnya daripada (Empathy-to-Empower) iaitu pemberian kepada pemerkasaan atau pemberdayaan.

“Untuk tempoh 10 tahun IPR dilaksanakan, ia adalah masa yang terbaik untuk kita menyelaraskan semula semua program ini sejajar dengan matlamat dan sampai ke golongan sasaran,” katanya.

Categories
SELANGOR

Henti eksploitasi permohonan KISS

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 16 SEPT: EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud menegur sesetengah pihak yang dilihat cuba mengeksploitasi inisiatif Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) untuk kepentingan tertentu.

Menurutnya, permohonan program bantuan KISS itu ditutup memandangkan sudah memenuhi kuota 40,000 pemohon seperti peruntukan di dalam belanjawan lalu.

“Saya sudah memaklumkan pada Ahli Dewan Negeri (ADN) dan aktivis beberapa minggu lalu supaya tidak lagi menawarkan permohonan KISS kerana telah mencapai kuota 40,000 penerima.

“Jadi sehingga akhir tahun ini, tiada lagi penawaran untuk permohonan program KISS , jadi tidak adil jika kita terus tawarkan kepada mereka terutama yang layak bila mana kuota peruntukan asal telah dipenuhi,” katanya dipetik Sinar Harian.

Siti Mariah yang juga ADN Seri Serdang berkata, beliau kesal kerana timbul dakwaan sesetengah pihak yang masih menawarkan permohonan KISS kepada orang ramai kebelakangan ini.

“Saya harap pihak terbabit hentikan eksploitasi sedemikian kerana bukan sahaja beri harapan palsu kepada pemohon, malah akan memberikan impak negatif kepada para ADN dan usaha kerajaan.

“Jika perkara ini berterusan, mungkin kita akan ketatkan proses permohonan (bagi peruntukan akan datang) seperti tidak lagi membenarkan aktivis-aktivis menawarkan permohonan secara terus kepada pemohon,” katanya.

Categories
SELANGOR

Peluang kerja dari rumah menerusi KISS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri akan memulakan projek perintis bagi Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dengan menyediakan peluang bekerja dari rumah tidak lama lagi.

Exco Kesihatan, Pemerdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, pihaknya kini merangka rancangan itu bersama syarikat korporat untuk dilaksanakan.

Katanya, menerusi inisiatif itu, penerima KISS akan diberi latihan untuk menghasilkan produk sekali gus memasarkan produk mereka dengan kerjasama daripada syarikat korporat berkenaan.

“Syarikat ini akan memberikan pelbagai latihan kepada penerima KISS dan mereka juga akan menerima bayaran gaji daripada syarikat berkenaan.

“Produk yang dihasilkan akan dipasarkan di Malaysia juga luar negara menerusi bantuan syarikat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Sidang Dewan Negeri, di sini.

Pada masa sama, Mariah berkata, semua Ahli Dewan Negeri (ADN) dinasihatkan meneliti syarat permohonan penerima KISS supaya program itu dinikmati oleh golongan yang benar layak.

“ADN mempunyai kuasa autonomi memilih penerima manfaat ini, oleh itu kita mahu penerima ini perlu dikenal pasti kelayakan bukannya hanya tandatangan sahaja.

“Ini bagi mengelakkan golongan yang layak tidak dapat manfaatnya,” katanya.

Terdahulu, KISS diperkenalkan melalui Belanjawan 2018 Selangor tahun lalu oleh mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Melalui KISS, setiap ibu yang layak akan menerima bantuan RM2,400 setahun atau RM200 setiap bulan.

Program itu memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 golongan ibu, termasuk mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta pakaian sekolah untuk anak di pasaraya juga kedai runcit terpilih.

Peserta KISS boleh mendapat bekalan berkenaan di lebih 500 pasar raya dan kedai runcit berdaftar seperti Giant Hypermarket, 99 Speedmart serta Pusat Pakaian Hari-Hari.

Categories
SELANGOR

Mahu kuota bantuan KISS ditambah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 MEI: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli mahu bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) ditambah kuota bagi memastikan kebajikan rakyat yang memerlukan terjamin.

Katanya, hal itu kerana, beliau menerima permohonan yang banyak daripada penduduk setempat.

Beliau berkata, Dato’ Menteri Besar sebelum ini mengumumkan pertambahan 10,000 lagi permohonan dibuka untuk rakyat Selangor menikmati manfaat Kiss.

“Oleh itu, bagi DUN Bukit Melawati, saya akan menyemak semula sama ada kuota masih ada atau sebaliknya.

“Saya kena semak dahulu memandangkan peruntukan KISS ini terhad bagaimanapun permohonan bagi Kad Peduli Sihat masih dibuka seperti biasa,” katanya.

Terdahulu, katanya, permohonan KISS yang dibuka sudah mencapai 30,000 permohonan dan tambahan lagi 10,000 permohonan dibuka untuk keluarga yang memerlukan.

Pada masa sama, katanya, kira-kira 400 permohonan KISS sudah diluluskan bagi DUN terbabit.

“Masih ramai yang ingin memohon bantuan ini. Peruntukan KISS terhad dan jika masih berbaki tambahan kuota itu, saya akan bantu sebaik mungkin,” katanya.

=EZY=