Categories
SELANGOR

Kos sara hidup tinggi, syukur Selangor ada IPR

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 1 JAN: Peningkatan kos sara hidup yang tinggi membuatkan masyarakat semakin sedar akan manfaat program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Mohd Zahir, 46, yang bekerja sendiri berkata, pelaksanaan program itu banyak membantu meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik untuk meneruskan kehidupan.

“Saya amat berpuas hati dengan apa yang dilakukan Kerajaan Negeri pada masa kini namun saya minta syarat permohonan IPR dilonggarkan pada 2018 supaya lebih ramai lagi boleh menerima manfaat sama.

“Diharapkan pemerintahan yang ada pada masa ini dikekalkan momentumnya sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui Selangor Kini dalam Konsert Ambang 2018 Gempak Selangor di Dataran Kemerdekaan, malam tadi.

Sementara itu, Rohaiza Fuad, 30, berkata, program IPR banyak membantu golongan berpendapatan rendah sepertinya untuk meningkatkan taraf ekonomi.

“Saya amat bersyukur kerana Selangor memberikan banyak manfaat dan bantuan kepada rakyat bagi mengurangkan taraf kemiskinan di negeri ini.

“Semoga program ini akan dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

Bagi penceramah bebas, Dato’ Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, sebagai seorang ibu, beliau berharap Kerajaan Negeri dapat melaksanakan pelbagai program menjurus kepada anak-anak remaja pada masa kini.

“2018 ini, saya ingin melihat banyak program berbentuk jati diri remaja dapat direalisasikan bagi memastikan anak-anak remaja ini dapat membentuk sahsiah diri yang hebat.

“Ini kerana mereka adalah pelapis generasi akan datang dan saya bimbang mereka akan terpengaruh dengan arus globalisasi di mana ramai anak-anak remaja kini lebih terpengaruh dengan gajet,” katanya.