Categories
SELANGOR

Mahkamah ketepi penghakiman Akta Hasutan ADN Sri Muda

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 JAN: Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan, pada November 2016 berhubung keperluan pihak pendakwaan membuktikan niat individu yang didakwa sebagai menghasut.

Memetik laporan Malaysiakini, mahkamah juga menyifatkan rayuan sivil Anggota Dewan Negeri (ADN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei supaya Seksyen 3 (3) Akta Hasutan diisytiharkan tidak berpelembagaan sebagai penyalahgunaan proses mahkamah.

Bagaimanapun, Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop yang menulis keputusan sebulat suara berkenaan tidak membuat keputusan berkenaan bahagian perlembagaan berkenaan.

“Mahkamah Rayuan salah dalam membenarkan rayuan responden (Mat Shuhaimi) yang mewajarkan campur tangan kami.

“Keputusan Mahkamah Tinggi dikembalikan dan keputusan Mahkamah Rayuan diketepikan. Kami menolak untuk menjawab soalan dua dan tiga daripada cabaran yang dikemukakan,” katanya.

Mahkamah menyifatkan permohonan sivil berkenaan sebagai penyalahgunaan proses mahkamah kerana Mat Shuhaimi sebelum ini tidak berjaya mengetepikan seksyen 4 akta sama.

Hakim lain dalam panel itu ialah Datuk Ramly Ali, Datuk Balia Yusof Wahi, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham.

Mahkamah kemudian tidak membuat sebarang perintah mengenai kos walaupun peguam kanan persekutuan yang diketuai Awang Armadajaya Awang Mahmud meminta RM15,000.

Dengan keputusan hari ini, Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan bagi Shuhaimi akan disebutkan, di Shah Alam pada Rabu ini.

Shuhaimi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Februari 2011 atas tuduhan menghasut dengan memuat naik satu artikel berhubung pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri Selangor yang baru.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Khidmat Rakyat, Jalan Anggerik Vanilla, Shah Alam pada 30 Disember 2010.