Categories
NASIONAL

Henti polemik calon PM, fokus kukuh parti

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 JAN: Ahli parti komponen dalam Pakatan Harapan (Pakatan) disaran menghentikan polemik berhubung pemilihan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.

Profesor Sains Politik Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, mereka seharusnya fokus terhadap kerja mengukuhkan jentera parti masing-masing bagi menghadapi Umno-Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Ada yang tidak setuju tetapi keputusan dibuat kepimpinan gabungan itu yang bermaksud semua pihak perlu akur dan terus bekerja untuk memastikan kejayaan Pakatan di Putrajaya, di samping mengekalkan kerajaan di Selangor.

“Jika terus berpolemik, tidak akan menyelesaikan masalah,” katanya yang juga Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti UNISEL.

Bagaimanapun, katanya, kelompok anak muda yang mengambil pendirian bersetuju untuk tidak bersetuju juga wajar diberi perhatian pemimpin parti.

Dr Shaharuddin berkata, beliau percaya pendirian itu diambil ekoran trend politik dunia menyaksikan beberapa negara memilih sosok muda untuk menerajui negara.

“Luahan perasaan anak muda yang mungkin terguris berdasarkan apa yang berlaku di dunia menyebabkan kemungkinan mereka berpendapat menampilkan sosok muda lebih baik tetapi tidak menolak semua pandangan parti,” katanya.