Categories
NASIONAL

Maritim Malaysia tahan nelayan gagal pamer pengenalan diri

SHAH ALAM, 12 JAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua nelayan warga Myanmar bersama sebuah bot, di kedudukan 4.4 batu nautika barat daya Pulau Talang, Lumut, semalam.

Pengarah Maritim Daerah Maritim 3 Lumut, Kapten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, bot terbabit ditahan anggota Bot Petir 80 yang sedang melakukan rondaan dan penguat kuasaan, di perairan negara.

Katanya, warga asing terbabit ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri, dalam kejadian jam 5.20 petang itu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan gagal menunjukkan surat kebenaran dari ketua pengarah Perikanan.

“Bot pula membabitkan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menggaji (dioperasikan) pekerja asing,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tekong dan awak-awak warga asing berkenaan berusia 37 dan 41 tahun.

Katanya, bot nelayan tempatan bersama dua nelayan warga asing berkenaan dibawa ke jeti Kampung Baru Sitiawan untuk siasatan lanjut.