Categories
SELANGOR

‘Komuniti jalan kaki’ pupuk gaya hidup sihat

OLEH NORHAYATI UMOR

PUCHONG, 12 JAN: Lebih 2,000 penduduk di Lake Edge dan Taman Mutiara Puchong kini boleh menggunakan laluan penjalan kaki yang siap sepenuhnya bulan ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han berkata, laluan penjalan kaki yang menelan belanja RM20,000 itu sebagai inisiatif memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti.

Katanya, tanpa memandu kenderaan, penduduk dapat menjimat masa untuk ke Pusat Bandar Puchong.

“Jika mahu menggunakan kenderaan, penduduk terpaksa membuat satu pusingan yang agak jauh.

“Tetapi dengan adanya laluan ini, penduduk boleh ke Pusat Bandar antaranya Tesco, Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dengan hanya berjalan kaki,” katanya ketika ditemui.

Sze Han berkata, pihaknya berbincang dengan komuniti di kawasan terbabit untuk mewujudkan komuniti berjalan kaki sebelum ini.

Katanya, hasil perbincangan itu mendapat sambutan positif daripada persatuan penduduk.

“Saya berbincang dan hasilnya positif jadi saya menggunakan peruntukkan ADN untuk membina laluan pejalan kaki ini.

“Disamping mengurangkan kenderaan, penduduk juga dapat bina gaya hidup sihat dengan berjalan kaki.

“Saya berharap penduduk dapat menggunakan peluang ini dengan sebaiknya,” katanya.