Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Pemimpin mesti ada sikap ‘walk the talk’

OLEH NAZLI IBRAHIM

BANGI, 11 JAN: Pemimpin politik diingatkan supaya tidak bersikap suka menabur janji kosong kepada rakyat seperti diamalkan pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN).

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebagai pemimpin seseorang itu perlu memiliki sikap ‘walk the talk’ atau bertanggungjawab terhadap setiap janji yang dilafazkan.

“Siapa pun boleh menabur janji tetapi apa yang penting, sebagai pemimpin bertanggungjawab kita mesti ‘walk the talk’, apa dijanjikan perlu ditunaikan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pegawai Khas Perdana Menteri, Isham Jalil yang kononnya Umno-BN mahu menurunkan cukai hartanah di Selangor bagi mengurangkan harga rumah, kos perniagaan serta harga barangan dan perkhidmatan pada Majlis Penyerahan Notis 5A di Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, berbeza dengan Kerajaan Negeri hari ini sentiasa berusaha memastikan kesejahteraan rakyat negeri termaju itu ditingkatkan melalui pelbagai dasar dan program yang dilaksanakan.

Katanya, sebaliknya ketika Umno-BN Selangor sebelum ditumbangkan sebelum ini yang lebih mementingkan kepentingan kedudukan politik dan kroni masing-masing.

“Sebagai pembangkang mereka boleh janjikan semua perkara, tetapi saya kira dasar Kerajaan Negeri hari ini memberi manfaat langsung kepada rakyat untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup,” katanya.