Categories
AGENDA NASIONAL

Dr M antara 1,000 pemimpin beri penghormatan akhir jenazah Tun Rahah

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Hampir 1,000 tetamu terdiri orang kenamaan, wakil rakyat dan orang ramai hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Tun Rahah Mohamad Noah di Masjid Ar-Rahah Kerinchi.

Antara yang hadir ialah Tun Dr Mahathir Mohamad; isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; bekas Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Turut memberi penghormatan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Ketari, Young Syefura Othman.

Orang ramai turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah di Masjid Ar-Rahah, Kerinchi pada 19 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berangkat memberi penghormatan terakhir kepada ibu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tun Rahah, 87, yang juga ibu kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court petang semalam.

Jenazah akan dimandi dan dikafankan di Masjid Ar-Rahah sebelum dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara.

Categories
AGENDA NASIONAL

Perbanyakkan lokasi artis mural serlah bakat

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Kerajaan diharap dapat memperbanyakkan tempat bagi artis mural berkarya misalnya mewartakan sesuatu kawasan atau mengadakan dinding khas untuk golongan seni itu ‘mencurahkan’ kreativiti mereka.

Pelukis mural, Abdul Hadi Ramli, 27, berkata ia bukan sahaja sebagai platform untuk menunjukkan hasil seni, namun pada masa sama mampu mengindahkan kawasan selain ‘menghidupkan’ tempat berkenaan.

“Kebanyakan pelukis mural ini mahu ekspresikan karya mereka pada dinding, dan kalau kita lihat sebenarnya ramai artis seni yang berpotensi di negara ini tetapi tidak diberikan ruang dan peluang.

“Kami pun sebenarnya hasilkan ia (lukisan mural) secara bersahaja untuk suka-suka, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ada board laman seni, jadi saya rasa ia mungkin boleh dinaik taraf supaya lebih banyak karya seni dapat dihasilkan,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program ‘Darah Muda’ terbitan Bernama TV malam tadi.

Pelukis Muhammad Suhaimi Ali 27, ketika melukis mural gergasi potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan wajah-wajah pemimpin negara di Taman Cahaya Alam Seksyen U12 Shah Alam pada 5 Julai 2020. Foto BERNAMA

Abdul Hadi merupakan seorang daripada pelukis mural gergasi pemimpin negara termasuk potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam bersama dua rakannya, Muhammad Suhaimi Ali, 27, dan Muhamad Firdaus Nordin, 26.

Bagaimanapun, baharu sahaja ‘berusia’ dua minggu, ‘pameran’ mural gergasi memaparkan wajah pemimpin negara di dinding sebuah bangunan itu telah dicemari laku musnah (vandalisme) dengan contengan semburan cat merah memaparkan kata-kata yang tidak menyenangkan, tiga hari lepas.

Keadaan itu telah menyebabkan seluruh lukisan di dinding itu terpaksa dipadam dengan cara dicat semula dengan warna putih.

Mengulas mengenai perkara itu, Abdul Hadi mengakui kecewa dengan tindakan orang awam yang mungkin ‘buta seni’ itu sehingga tergamak melakukan perkara berkenaan, namun beliau dan rakan-rakan tetap positif dan menganggap ia sebagai suatu cabaran dalam industri itu.

“Siapa yang tak kecewa melihat karya diconteng dengan kata-kata kesat, rasa penat lelah tidak dihargai, tapi kita sentiasa positif, lepas dapat maklum balas daripada orang ramai yang turut tidak bersetuju dengan perkara itu, kami lagi bersemangat untuk menghasilkan mural lain, ia juga sebagai pemangkin semangat,” katanya.

Jelasnya, hasil mural itu juga mampu meningkatkan ekonomi kawasan terbabit, justeru, karya itu perlu dipelihara dan dijaga.

“Seni itu bertujuan mencantikkan kawasan bukan memburukkan dan menjadi tarikan orang ramai, selain dapat membina ekonomi di situ, contohnya kawasan Seksyen U12, Shah Alam, pada asalnya orang tak tahu tapi disebabkan mural ini, orang dah mula beri perhatian,” kata lulusan Sarjana Seni Halus dan Teknologi Universiti Teknologi Mara itu.

Mengulas perjalanan mereka selepas ini, Abdul Hadi berkata beliau dan rakan-rakan dalam perancangan untuk menghasilkan mural yang berskala besar dan di lokasi kedudukan yang tinggi bagi mengelakkan karya mereka dimusnahkan orang awam sekali lagi.

Beliau turut menasihati pelukis mural untuk menghindarkan karya yang berbentuk negatif sehingga memberi pengaruh tidak baik kepada masyarakat khususnya generasi muda.

“Mural ini juga bertujuan mendidik masyarakat, ada maksudnya tersendiri, macam mural yang kami hasilkan itu, ia sebagai tanda terima kasih kepada pengorbanan pemimpin negara mendepani pandemik Covid-19, bagaimana pemimpin ini tangani dengan baik,” katanya yang bercita-cita supaya karya mereka dapat dipamerkan di Balai Seni Negara pada masa hadapan.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Pemimpin mesti ada sikap ‘walk the talk’

OLEH NAZLI IBRAHIM

BANGI, 11 JAN: Pemimpin politik diingatkan supaya tidak bersikap suka menabur janji kosong kepada rakyat seperti diamalkan pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN).

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebagai pemimpin seseorang itu perlu memiliki sikap ‘walk the talk’ atau bertanggungjawab terhadap setiap janji yang dilafazkan.

“Siapa pun boleh menabur janji tetapi apa yang penting, sebagai pemimpin bertanggungjawab kita mesti ‘walk the talk’, apa dijanjikan perlu ditunaikan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pegawai Khas Perdana Menteri, Isham Jalil yang kononnya Umno-BN mahu menurunkan cukai hartanah di Selangor bagi mengurangkan harga rumah, kos perniagaan serta harga barangan dan perkhidmatan pada Majlis Penyerahan Notis 5A di Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, berbeza dengan Kerajaan Negeri hari ini sentiasa berusaha memastikan kesejahteraan rakyat negeri termaju itu ditingkatkan melalui pelbagai dasar dan program yang dilaksanakan.

Katanya, sebaliknya ketika Umno-BN Selangor sebelum ditumbangkan sebelum ini yang lebih mementingkan kepentingan kedudukan politik dan kroni masing-masing.

“Sebagai pembangkang mereka boleh janjikan semua perkara, tetapi saya kira dasar Kerajaan Negeri hari ini memberi manfaat langsung kepada rakyat untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Azmin: Undi rakyat penentu pemimpin berdasarkan demokrasi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 JAN: Hanya undian rakyat akan menentukan parti yang layak untuk diangkat menjadi pemimpin berdasarkan sistem demokrasi diamalkan.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan pemilihan jawatan juga pemimpin berdasarkan sistem demokratik bukan antara siapa setuju atau tidak.

Mohamed Azmin berkata, beliau tidak mempunyai maklumat berhubung perbincangan antara Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pemimpin DAP jika parti pembangkang berjaya menewaskan Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang.

azmin-parlimen“Saya tidak ada perincian berkenaan perbincangan Tun M dengan DAP. Keputusan ini melibatkan sistem demokratik bukan soal kita setuju atau tidak.

“Kalau rakyat setuju? Ini soal demokrasi, rakyat yang akan menentukan siapa yang menang dalam pilihan raya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvokesyen Pengajian Bersijil sesi 2016, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Dewan Jubli Perak, di sini.

Terdahulu, Tun Mahathir mendedahkan DAP pernah meminta jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya pembangkang berjaya merampas kerajaan pada pilihan raya akan datang.

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata, bahawa parti itu tidak mempunyai masalah sekiranya DAP berhasrat untuk memegang jawatan itu.

Zuraida menambah, keterbukaan itu adalah simbolik kepada meraikan kepelbagaian kaum yang terdapat dalam blok pembangkang.

-NFN-

Categories
EKSKLUSIF

Dr Rani disenangi bukan Melayu walau perjuang politik Islam

Oleh Hafizan Taib

DR ABDUL RANI OSMAN menempuh pelbagai cabaran sejak terpilih sebagai wakil rakyat Meru pada 2008 tetapi beliau menjadikannya sebagai penguat semangat untuk terus berjuang demi perubahan politik.

Pembabitan Pesuruhjaya PAS Selangor itu dalam politik menerusi PAS sejak 1999 bukan untuk mengangkat diri  tetapi menjurus kepada memperjuang politik berlandas Islam.

“Saya masuk PAS, sertai politik bukan untuk jadi calon, tidak pernah terfikirpun. Perjuangan menegakkan Islam itu menyeluruh dan bukan setakat sembahyang.

“Ia merangkumi seluruh aspek kehidupan dan pentadbiran serta perlu dipraktikkan pemimpin demi kemakmuran rakyat,” katanya yang pernah tewas pada pilihan raya pada 2004 di DUN Meru,

Biarpun menghadapi masalah di peringkat awal sebagai Adun tetapi beliau cekal dan terus mencurah khidmat bakti tanpa mengira bangsa dan agama.

Beliau gembira lantaran segenap lapisan masyarakat di DUN Meru menerima kehadirannya dengan baik termasuk dari pemimpin dan penyokong parti lawan.

“Orang Cina dan India juga begitu dengan saya pernah diundang ke rumah ibadah mereka dan berbicara soal agama dengan baik,” katanya.

IMG_2763Selaku Adun, Dr Rani mengenal pasti banjir sebagai antara masalah utama di DUN Meru tetapi yakin, lebih 70 peratus masalah banjir dapat diatasi melalui pelbagai usaha sejak lima tahun lalu.

Beliau berterima kasih kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor yang berusaha memastikan banjir dapat ditangani dengan berkesan.

“Antaranya menaik taraf longkang dan parit serta membina saliran konkrit melibatkan perumahan awam dan kawasan komersial,” katanya.

Selain itu, masalah jalan raya berlubang dan tidak rata di kebanyakan kampung juga diselesaikan melalui pelbagai kerja baik pulih.

Dalam membangunkan ekonomi rakyat pula, Dr Rani mendapati program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) banyak memberi manfaat kepada rakyat yang selama ini tidak diabai kerajaan BN.

“Mereka menikmati pelbagai skim seperti Pusat Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), Skim Usia Mesra Emas (SMUE), Skim Kesihatan Wanita dan banyak lagi.

7“PTRS bukan setakat orang Melayu tetapi Cina, India dan bangsa lain juga turut serta kerana mereka juga bukan dari keluarga yang berkemampuan.

“Begitu juga Jom Shopping, ramai peserta SMUE gembira kerana sebelum ini mereka tidak pernah mendapat kemudahan macam ini,” katanya.

Dr Rani menyifatkan pendekatan Kerajaan Negeri pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim itu wajar dipuji kerana rakyat memerlukan pemerintah yang mengutamakan rakyat.

Beliau berpendapat program seperti itu sepatutnya diperkenal lama dulu – ketika BN masih memegang tampok pemerintahan di Selangor.

Sungguh sibuk berbakti  dan sukar memperuntuk masa bersama keluarga, Dr Rani Osman tidak menganggap ia sebagai penghalang, bahkan ia mengerat lagi hubungan antara mereka.

ran“Saya akui berubah sangat-sangat bila bergelar wakil rakyat. Sekarang jarang dapat bersama keluarga kerana masa banyak dihabiskan di luar.

“Sungguhpun begitu, sokongan terutama isteri serta anak dan adik beradik menguatkan saya untuk terus menjalankan amanah rakyat,” katanya.

Jika berkesempatan meluangkan masa bersama keluarga, Dr Rani akan membawa mereka menikmati hidangan  bersama-sama selain berkongsi kisah menarik.

“Dulu saya aktif dalam badminton dan bola sepak. Saya memang bagus dalam permainan bola sepak dan pernah mewakili universiti ketika di Mesir.

“Dengan anak-anak pula, saya gemar bermain ping pong untuk menguji kebolehan masing-masing,” katanya kini banyak menghabiskan masa terluang dengan membaca.

BIODATA

Umor : 55 Tahun
Tarikh Lahir : 14 April 1958
Tempat Lahir : Pelabuhan Kelang, Klang.
Kelulusan : M.B.Ch.B. (Ijazah Dalam Bidang Perubatan) Universiti Tanta, Mesir.
Email : [email protected]
Keluarga : berumahtangga dan mempunyai lima anak, seorang menantu dan seorang cucu.

Pengalaman bekerja :
– Pernah bertugas di Hospital Besar Kuala Lumpur, Hospital Umum Sarawak dan Pusat Kesihatan Kecil Puchong, Selangor.
– Pernah mengetuai Rombongan Perubatan Jemaah Haji Malaysia di Madinah Saudi Arabia.
– Kini bertugas di klinik persendirian, Klinik Fitrah, Meru.

Jawatan Pilitik :
– Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru
– Pesuruhjaya Pas Selangor

 

 

Categories
EKSKLUSIF

Dr Idris teruskan sinambungan usaha basmi kemiskinan DUN Ijok

Oleh Hafizan Taib

BIARPUN ramai kenalan daripada kalangan ahli politik, namun Dr Idris Ahmad hanya terlibat pada 1998.

Beliau mula giat menyertai pelbagai aktiviti politik ketika tanah air digegarkan dengan gerakan Reformasi dan menyertai PKR pada 1999.

“Bila menamatkan pegajian dan pulang dari Australia pada 1972, ramai
kawan dari Umno yang mengajak saya menyertai mereka, tetapi saya tidak  berminat dengan keadaan politik yang berlaku pada ketika itu.

“Saya lebih menumpukan perhatian pada kerjaya saya sebagai seorang
doktor. Saya hanya mula aktif pada 1998 dengan sertai PKR pada 1999
kerana saya melihat ketidakadilan berlaku,” katanya.

DSC_6955Beliau menolak bertanding pada 2004 dan 2008 kerana lebih
menumpu perhatian kepada kerja parti sebagai Ketua Cabang PKR Segambut dan Pengerusi Perhubungan Negeri Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Kesediaannya bertanding di DUN Ijok pada PRU-13 lalu juga kerana
memahami kehendak parti, serta menyedari tahap pendidikan dan pengalaman luasnya mampu diyakini memberi perkhidmatan baik kepada masyarakat.

“Walaupun saya dari Kuala Lumpur, tetapi bapa saya dari Ijok, begitu
juga saudara mara lain. Saya juga pulang ke kampung di situ.

“Orang kampung balik ke kampung, tawarkan diri sebagai calon, jadi
sokonglah saya. Itu saya katakan dan tiada kempen memburuk-burukkan pihak lawan sepanjang berkempen,” katanya.

1238842_413157192128857_2118689016_nSejak menjadi Adun Ijok, beliau merangka pelbagai program pembangunan bagi kemajuan penduduk setempat demi memastikan mereka mendapat manfaat serta menikmati taraf kehidupan lebih baik.

Masyarakat Ijok rata-ratanya berpendapatan rendah dan sederhana dengan majoriti sebagai peladang, pekebun, pekerja kilang, peniaga – perlu dibantu bagi mengatasi masalah kemiskinan yang membelenggu mereka.

“Saya melihat pembangunan kota dan desa tidak seimbang biarpun lebih 56 tahun merdeka.

“Bila bercakap soal kemiskinan, orang selalu kaitkan dengan wang ringgit tetapi ia lebih luas seperti pendidikan, khidmat kesihatan, keselamatan dan kongkongan sosioekonomi.

“Itu cabaran saya hadapi bagi membantu dan mengatasi masalah penduduk di DUN Ijok. Tiada gunanya kita bagi bantuan duit tetapi kehidupan tetap sama dan mentaliti tidak berubah,” katanya.

Dr Idris merancang program pembangunan industri agro, malah perbincangan sudah dibuat dengan pihak terbabit seperti China, supaya penduduk mampu meningkatkan pendapatan menerusi hasil tani.

Bagi mengatasi masalah kampung yang ketiadaan lampu, pihak terbabit juga berminat membantu dengan memindahkan teknologi dengan pemasangan lampu tenaga solar.

sidang dun idris“Bagi pendidikan, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Ijok merangka
program pendidikan sejak usia rendah melalui kelas tuisyen percuma
seawal usia tujuh tahun.

“Kaedah itu sesuai untuk pembangunan modal insan dan cadangan sudah dikemukakan kepada Kerajaan Negeri.

“Kita sudah menjalankan kelas tuisyen percuma di PKM, disertai antara
200 hingga 300 pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM),” katanya.

Dr Idris juga mahu memastikan balai komuniti bermasalah dibaik pulih
supaya ia dapat digunakan untuk pelbagai aktiviti menerusi peruntukan
Adun.

“Kita merancang pelbagai program antaranya khidmat kesihatan bergerak yang percuma kepada orang ramai kerana saya dapati penduduk sini tidak mendapat perkhidmatan kesihatan sempurna.

“Selain itu, kelas memasak dan menjahit juga akan dijalankan di PKM
dengan penglibatan kumpulan sasaran supaya mereka mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Dalam kehidupan peribadinya, Dr Idris suka menghabis masa bersama
keluarga, tambahan ada di kalangan anaknya yang turut mengikut jejak
langkahnya menjadi doktor.

1175494_413151302129446_575715224_nBiarpun amanah sebagai wakil rakyat membataskan dirinya untuk bersama mereka namun peluang yang ada digunakan sebaik mungkin melalui pembahagian masa yang betul.

Beliau menitikberatkan kualiti masa dalam menjalani kehidupan hariannya.

“Pekerjaan dan sumbangan harus disertai dengan kualiti. Saya tekankan
perkara ini kerana saya bukan berasal dari keluarga senang,” kata bapa
empat anak berusia 22 hingga 36 tahun.

Dr Idris juga gemar bersukan dengan anak-anaknya jika berkesempatan.

“Saya pernah bersama anak-anak saya bermain badminton dan bola sepak kerana sukakan aktiviti seperti itu.

“Ketika zaman persekolahan saya pernah muncul juara badminton dan bola sepak ketika mewakili sekolah dan Universiti Monash,” katanya yang bertemu jodoh dengan seorang pensyarah pendidikan.

BIODATA

Umur : 66 tahun
Tarikh lahir : 24 Julai 1947
Nama isteri : Mariah Abdul Karim, 66
Anak : Empat orang – 3 perempuan dan 1 lelaki (22 – 36 tahun)

Pendidikan
1. 1952 : Sekolah Melayu Gombak Lane, Kuala Lumpur
2. 1956 : St. John’s Institution Primary, Kuala Lumpur
3. 1959 : St. John’s Institution Secondary, Kuala Lumpur
4. 1963 : Maktab Tentera Diraja (RMC), Sungai Besi, Kuala Lumpur

Pendidikan Lanjutan / Ijazah
1967 – 1972 : Monash University, Australia.
1978 : Member Royal College Of Obstetrician & Gynaecologist
1988 : Fellow Royal College Of Obstetrician & Gynaecologist

Pekerjaan
1973 – 1978 : Hospital Kuala Lumpur
Pensyarah di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM)
Pakar Obstetric & Ginekologi
1979 – sekarang : Doktor Pakar di Hospital Pantai, Kuala Lumpur

Politik
1999 : Ahli PKR
Ketua Bahagian Segambut, Kuala Lumpur.
2010 : Pengerusi Perhubungan Negeri PKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
2013 : Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ijok, Selangor

Jawatan Lain
2009 : Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Baru Kuala Lumpur
2011 – 2013 : Ahli Majlid Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)