Categories
NASIONAL

MET Malaysia keluarkan amaran hujan lebat berterusan

SHAH ALAM, 4 JAN: Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) terus mengeluarkan amaran cuaca buruk sehingga hari ini, ekoran hujan lebat dan angin kencang bdi beberapa kawasan di Kemaman, Terengganu, dan Kuantan, Pekan, Maran, Bera serta Rompin, Pahang.

Met Malaysia dalam kenyataan berkata, beberapa kawasan lain turut dikeluarkan amaran waspada cuaca buruk untuk tempoh sama.

Katanya, kawasan terbabit adalah Dungun, Terengganu; Jerantut, Temerloh dan Bentong, Pahang; Segamat dan Mersing, Johor dan Jelebu, Jempol serta Tampin, Negeri Sembilan.

“Amaran angin kencang dan laut bergelora kategori dua turut dikesan, di perairan Condore dan barat laut Reef North sehingga esok.

“Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak sehingga 4.5 meter akan menyebabkan angin kencang dan laut bergelora dan berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan serta pantai termasuk menangkap ikan atau perkhidmatan feri,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, Met Malaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama, di perairan tenggara Samui, Tioman, selatan Condore, Bunguran, Reef South, tenggara Reef North, Layang-Layang, Labuan dan Palawan sehingga esok.

Katanya, amaran ribut petir menyeluruh dijangka berlaku sehingga lewat pagi ini, di perairan Selat Melaka Utara dan Tioman.

“Untuk perairan Malaysia, amaran ribut petir menyeluruh di perairan Johor Timur dan Pahang dijangka berterusan sehingga lewat pagi ini.

“Amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dijangka berlaku sehingga esok di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat, Sabah serta Labuan,” katanya.

Sementara itu, Ribut Tropika turut dikesan pada kedudukan kira-kira 276 kilometer (km) ke Tenggara, Nha Trang, Vietnam dan 781 km ke Barat Laut Kudat, Sabah, sekitar jam 5 pagi ini.