Categories
NASIONAL

MetMalaysia sahkan penurunan suhu di selatan Semenanjung

 

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 12 JAN : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan beberapa kawasan di selatan Semenanjung mengalami penurunan suhu manakala Kuala Pilah di Negeri Sembilan pula merekodkan suhu terendah iaitu 21 darjah celcius sejak tengah malam tadi hingga hari ini.

Ketua Pengarahnya, Alui Bahari berkata, keadaan itu adalah fenomena biasa berlaku terutamanya ketika musim monsun timur laut.

“Cuaca mendung, hujan berterusan dan pergerakan tiupan angin sejuk monsun timur Laut merupakan antara faktor cuaca sejuk yang melanda beberapa negeri di Semenanjung sejak semalam.

“Cuaca sejuk ini berlaku terutamanya di kawasan pedalaman dan daratan sejak tengah malam semalam hingga awal pagi ini, stesen meteorologi dari selatan Semenanjung hingga ke Johor mencatatkan suhu 22 darjah Celsius minimum dan maksimum 25 darjah Celsius berbanding suhu biasa 30 hingga 31 darjah Celsius,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada masa sama, mengulas berkenaan isu tular di media sosial mengenai suhu sejuk yang melanda beberapa negeri sejak beberapa hari lalu.

Alui berkata, perubahan suhu itu turut disumbangkan oleh keadaan berawan dan hujan renyai di beberapa negeri termasuk Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka serta hujan sederhana di Pahang dan Johor.

“Kita jangka keadaan akan kembali normal hari ini selepas hujan reda, namun fenomena ini tidak melanda negeri di utara Semenanjung,”katanya.