Categories
PBT SELANGOR

Pelan Rancangan Tempatan bina pembangunan mampan MPSp

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 JAN: Pelan Rancangan Tempatan diperkenalkan Majlis Perbandaran Sepanjang (MPSp) bagi menjadikan pembangunan, di pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu lebih mampan dan sistematik.

Yang Dipertua MPSp, Dato’ Puasa Mohd Taib berkata, tumpuannya terarah kepada pembangunan hijau dan bersifat Smart City, seiring hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai Smart State.

“Pelan ini dijayakan secara komprehensif memastikan pembangunan asas seperti pengurusan sampah, longkang dan jalan perumahan, bandar dan luar bandar diselia secara berkesan.

“Sememangnya MPSp mempunyai peruntukan sedia ada untuk melaksanakan pelan ini, memandangkan Sepang kini dilihat sebagai bandar yang sedang membangun dengan rancak.

“Faktor ini juga terarah kerana kedudukannya yang sangat dekat dengan Putrajaya sebagai kawasan tumpuan pelancongan dan pentadbiran kerajaan, di peringkat Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Hi-Tea dan Pelancaran Program Penjenamaan Semula Imej Bandar Dengkil di Taman Dengkil Jaya, baru-baru ini.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyarankan PBT memainkan peranan lebih aktif setara komitmen berkebajikan dan pembangunan efisien yang dijayakan Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, peruntukan PBT perlu diurus secara berkesan dengan menyediakan pelbagai kemudahan, di kawasan pentadbiran majlis.

Antara yang boleh dilaksanakan katanya, termasuk menambah baik keperluan fasiliti setempat untuk manfaat jangka panjang rakyat.