Categories
SELANGOR

Pengundi DUN Pelabuhan Klang bantah persempadanan semula

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 9 JAN: Sekumpulan pengundi dari kawasan N46 DUN Pelabuhan Klang, dalam Parlimen Klang membantah cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persempadanan semula yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bertentangan undang-undang.

Penyelaras DUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, peta cadangan diberi SPR dalam Notis Cadangan Persempadanan Semula kawasan pilihan raya menunjukkan DUN itu tidak lengkap seperti tidak mempunyai nama jalan atau nama taman menyebabkan banyak kekeliruan.

“Ini adalah pembahagian tidak sekata menyebabkan pengundi tidak tahu di mana dia mengundi dan tidak tahu persempadanan baharu yang dicadangkan dengan tepat.

“Terdapat kegagalan keadilan hak asasi manusia di dalam proses demokrasi yang sepatutnya dilakukan dengan adil dan saksama oleh SPR terhadap semua pengundi berdaftar sebagai pemilih sah dalam Daftar Pemilih Induk (DPI) SPR,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri pendengaran awam bantahan persempadanan semula SPR, di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Azmizam berkata, perkara itu menimbulkan persoalan berkenaan kesaksamaan hak pengundi untuk mendapatkan nilai undi yang sama dan mengapa SPR mempromosikan sistem yang akan menghalang pengundi memilih wakil rakyat mereka dengan bebas.

“Pemecahbelahan ini secara langsung melanggar peruntukan Jadual 13 Perlembagaan, iaitu pemeliharaan hubungan tempatan Seksyen 2(d) dan ia mesti diperbetulkan.

“Kami membantah pemecahan hubungan tempatan dicadangkan di DUN Pelabuhan Klang dalam P110 Parlimen Klang, iaitu daerah mengundi Bandar Bukit Tinggi 1, 2, Bandar Botanic, lokaliti Pendamar Indah 1, 2 dan Pendamar Indah Baru yang akan dipindahkan ke P111 Parlimen Kota Raja dan N48 DUN Kota Alam Shah.

“Manakala daerah mengundi Sungai Aur pula dicadangkan untuk pindah ke kawasan N47 DUN Pandamaran. Maka, tidak wajar SPR mengeluarkan daerah mengundi ini dari DUN Pelabuhan Klang dan sepatutnya mengekalkan daerah mengundi itu dalam DUN Pelabuhan Klang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago meminta SPR mempertimbangkan bantahan dan menerima cadangan mereka supaya tidak mengeluarkan kawasan terbabit dari DUN Pelabuhan Klang.

“Semua orang perlu bangkit untuk membantah perkara ini kerana ia adalah satu ‘pencurian’ besar-besaran yang mengambil hak orang lain dengan memberikan kelebihan kepada Umno-BN dan bukan Pakatan Harapan,” katanya.

Pada masa ini, kawasan N46 Pelabuhan Klang mempunyai representasi daripada pelbagai kaum seimbang, iaitu 53 peratus Melayu, 28 peratus Cina, dan 18 peratus India.

Namun, cadangan SPR akan menukar dinamik N46 DUN Pelabuhan Klang daripada satu kawasan majmuk kepada kawasan yang hanya mendominasikan satu kaum sahaja.