Categories
PBT SELANGOR

Peserta Kenya bolot MBSA Ultron International Half Marathon 2017

SHAH ALAM, 2 JAN: Acara Larian MBSA ULTRON International Half Marathon 2017 yang diadakan pada 31 Disember lalu menyaksikan tiga peserta dari Kenya, mengungguli kategori 21 kilometer, lelaki terbuka.

Acara di perkarangan Stadium Shah Alam, Seksyen 13 yang bermula, pada jam 12.01 tengah malam menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM21,000 berserta sijil dan medal kepada pemenang.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, tempat pertama bagi kategori 21km dimenangi John Mugi Muthokia, Noah Kutung Chepsergon (kedua), manakala John Ndiritu di tempat ketiga, semuanya dari Kenya.

“Bagi kategori 10km Lelaki Terbuka, tempat pertama dimenangi Nik Fakaruddin Ismail dari Malaysia, tempat kedua, Haithm Mukred Ghaleb Alselwi dari Yemen, manakala Kimitei Kiptahui Rodgers dari Kenya, di tempat ketiga.

“Sementara itu, bagi cabutan bertuah pula, dimenangi peserta, Narudin Hussin yang membawa pulang Toyota Vios (Sports Edition) bernilai RM89,000 tajaan UMW Toyota Motor Sdn Bhd,” katanya.

Shahrin berkata, acara larian itu adalah inisiatif MBSA menggalakkan gaya hidup sihat, di samping memupuk semangat kesukanan dalam melahirkan individu sihat dan cergas.

“Diharapkan acara larian ini dapat menjadikan Shah Alam sebagai bandar sukan yang selamat untuk aktiviti riadah.

“MBSA juga komited melaksanakan program sukan di Shah Alam serta memberi peluang terutama kepada remaja bergiat aktif dalam aktiviti sukan dan menjalani gaya hidup cergas.

“Antara aktiviti dianjurkan secara tahunan adalah bola sepak, futsal, bola tampar dan basikal,” katanya.

Acara larian itu mempertandingkan tiga kategori iaitu 21km Lelaki Terbuka dan Lelaki Veteran (40 tahun ke atas), Wanita Terbuka, dan Wanita Veteran (40 tahun ke atas), 10km Lelaki Terbuka dan Lelaki Veteran (40 tahun ke atas), dan Wanita Terbuka, serta 5km (Fun Run).

Program terbabit berjaya menarik penyertaan 5,000 peserta dari dalam dan luar negara seperti Thailand, Singapura dan Indonesia serta mendapat kerjasama dari pelbagai agensi seperti Tourism Selangor Sdn Bhd, UMW Toyota Motor Sdn Bhd dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Majlis pelepasan dirasmikan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Shukri Mohamad Hamin.