Categories
NASIONAL

Raub daerah terbaru dilanda banjir

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 JAN: Daerah Raub dilanda banjir menjadikan jumlah mangsa banjir dipindahkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 379 mangsa, berbanding 370 orang, malam tadi.

Memetik Harian Metro, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Zainal Yusof berkata, sembilan orang di Raub mula dipindahkan pagi ini ke PPS Dewan Semai Bakti Felda Tersang 2.

“Pada masa sama, Pekan masih menempatkan 281 orang di lima PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Temai (122 orang), Pusat Pemindahan Banjir Kampung Pulau Manis (75 orang).

“Mangsa turut ditempatkan di Balai Raya Kampung Tanjung Pulai (39 orang), SK Acheh (34 orang) dan Balai Raya Kampung Tebat (11 orang),” katanya.

Manakala di Maran, 38 mangsa masih ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian, manakala daerah Lipis, 51 mangsa ditempatkan di SK Chegar Perah.

Sementara itu, tujuh sekolah di Pekan dan Maran yang membabitkan 1,538 murid dan guru masih ditutup hari ini ekoran masalah banjir.

Katanya, enam sekolah di Pekan ialah SK Kampung Acheh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai, SK Mambang, SK Temai, SK Pelak dan SK Pulau Manis manakala sebuah sekolah di Maran, SK Kertau.