Categories
NASIONAL

Sistem Maid Online rekod 25,719 pelawat setakat ini

SHAH ALAM, 3 JAN: Permohonan pembantu rumah asing (PRA) dalam talian, (SMO) yang beroperasi semalam merekodkan 25,719 pelawat, setakat ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, 702 daripadanya adalah majikan yang mendaftar masuk permohonan untuk PRA mereka.

Katanya, terdapat segelintir majikan yang tidak dapat menyelesaikan proses pendaftaran kerana perlu melengkapkan syarat permohonan PRA terlebih dahulu.

“Setakat ini, laman sesawang ini dapat diakses dengan mudah dan lancar serta pelawat boleh membuat penelitian terlebih dahulu, memahami syarat juga prosedur permohonan pembantu rumah.

“Mereka juga boleh mendapatkan maklumat asas dan terperinci daripada soalan lazim yang ditanya sebelum memulakan proses pendaftaran,” katanya.

Pada masa sama, Mustafar turut mengingatkan majikan supaya menyediakan dokumen lengkap sebelum memulakan proses pendaftaran PRA melalui SMO.

Katanya, pihaknya juga mengesan beberapa ralat dalam langkah pendaftaran semasa majikan mula memasukkan data pendaftaran, namun langkah penambahbaikan serta-merta diambil untuk memastikan operasinya lancar.

SMO menyediakan kemudahan kepada majikan untuk memohon PRA secara dalam talian dengan cepat, tepat dan lebih jimat tanpa melalui ejen.

Bagaimanapun, majikan yang tidak mahu menggunakan SMO masih boleh mendapat khidmat daripada agensi PRA berdaftar.

SMO boleh dilayari di laman sesawang http://maid-online.imi.gov.my.