Categories
SELANGOR

Alasan pembantah SPR ‘hari bekerja’ dangkal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 JAN: Alasan ‘hari bekerja’ yang dinyatakan pembantah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disifatkan dangkal dan tidak boleh diterima.

Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han berkata, SPR gagal mematuhi proses lanjutan pendengaran persempadanan baru yang diadakan di Hotel Concorde, Shah Alam, pagi ini.

“SPR menetapkan setiap borang bantahan dikemukakan perlu ada 100 pembantah dan antara jumlah itu perlu ada tiga jurucakap.

“Tetapi kali ini, kami hanya menerima seorang jurucakap yang menerima notis atau surat daripada SPR.

“Sepatutnya ketiga jurucakap disenaraikan dalam borang bantahan perlu menerima notis dan lebih malang, alasan kegagalan itu dikatakan kerana masalah ‘hari bekerja’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Proses Pendengaran Persempadanan Baru DUN Kinrara, pagi ini.

Pada masa sama katanya, cadangan persempadan baru SPR di kawasan DUN Kinrara menyaksikan perubahan populasi undi tinggi.

Untuk rekod, pertambahan jumlah pengundi dicatatkan seramai 63,000 berbanding 35,000, pada Pilihan Raya Umum 13 (PRU-13) lalu.

Persempadan baru itu juga bakal meletakkan DUN Kinrara di bawah Parlimen Subang, bukan lagi Parlimen Puchong.

Terdahulu, Kerajaan Selangor mengemukakan proses bantahan terhadap cadangan persempadan baru SPR.

Pimpinan negeri mendakwa, persempadanan baru berkenaan bersifat berat sebelah dengan pecahan populasi kaum yang ketara, di setiap DUN dan Parlimen Selangor.