Categories
NASIONAL

Tahfiz terbakar: Kes dipindah ke Mahkamah Tinggi

SHAH ALAM, 3 JAN: Mahkamah Majistret memerintahkan kes dua remaja lelaki disabitkan atas pertuduhan membunuh 21 pelajar dan dua guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di sini, pada September lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Majistret Siti Radziah Kamarudin memutuskan perkara berkenaan dalam sebutan semula kes membabitkan dua remaja berusia 16 tahun itu, lapor Astro Awani.

Permohonan untuk memindahkan kes dibuat mengikut Seksyen 177A Kanun Acara Jenayah.

Dua remaja itu dituduh bersama melakukan bunuh di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, antara jam 4.15 pagi hingga 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Majistret Zilfinaz Abbas memutuskan salah seorang tertuduh kes bakar pusat tahfiz terbabit dilepas tanpa dibebaskan atas dakwaan memasukkan dadah jenis ganja dan syabu ke dalam badan.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa memasukkan dua jenis dadah iaitu ganja dan syabu ke dalam badan di tandas pejabat D7, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, pada jam 11.35 pagi, pada 16 September lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaan Nordin Ismail dan Nurakmal Farhan Aziz, manakala dua remaja itu diwakili peguam Haijan Omar dan Joanne Chua.

Dalam kejadian malang itu, 21 pelajar dan dua warden maut selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan yang terbakar.