Categories
AGENSI SELANGOR

Tahfiz terbakar: Pelajar tingkatan empat, lima tinggal di kuarters guru

SHAH ALAM, 4 OGOS: Pelajar perempuan tingkatan empat dan lima Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Kuala Langat (MITS) Banting yang terbakar pagi tadi akan ditempatkan di kuarters guru.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata lima unit kuarters terbabit akan dibaiki secepat mungkin bagi membolehkan pelajar mendiami dengan segera.

“Bermula 11 pagi tadi semua pelajar dibenarkan pulang sehingga dipanggil semula.

“Hanya tingkatan empat serta lima akan ditempatkan di kuarters manakala pelajar lain direhatkan sementara,” kata Mohd Shahzihan Ahmad kepada SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya sedang mendapatkan kelengkapan katil dan tilam dari MITS Sabak Bernam dan Sepang bagi kegunaan pelajar.

“Jais sedang meneliti keperluan lain yang perlu ditambah baik sebelum pelajar dibenar mendiaminya.”

Pagi tadi, 131 pelajar maahad berkenaan selamat selepas bangunan asrama tingkat empat didiami mereka terbakar. Kejadian jam 5.45 pagi itu berlaku ketika mereka sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Maahad tahfiz terbakar, ADN Morib hulur bantuan awal

SHAH ALAM, 4 OGOS: Ahli Dewan Negeri Morib menyumbang bantuan awal sebanyak RM2,000 kepada Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Kuala Langat di Banting yang terbakar pagi tadi.

Hasnul Baharuddin berkata bantuan itu dapat meringankan beban pusat berkenaan terutama dalam mengendali kebajikan pelajar.

“Bantuan segera ini boleh digunakan untuk kos pengangkutan pelajar kerana difahamkan pelajar dibenarkan pulang ke rumah masing-masing untuk sementara waktu,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Hasnul yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor meluangkan masa melawat lokasi kejadian.

Pagi tadi, seramai 131 pelajar perempuan sekolah tahfiz berkenaan selamat selepas bangunan asrama tingkat empat didiami mereka terbakar.

Kejadian jam 5.45 pagi tadi itu berlaku ketika mereka sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh.

Categories
NASIONAL

Tahfiz terbakar: Kes dipindah ke Mahkamah Tinggi

SHAH ALAM, 3 JAN: Mahkamah Majistret memerintahkan kes dua remaja lelaki disabitkan atas pertuduhan membunuh 21 pelajar dan dua guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di sini, pada September lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Majistret Siti Radziah Kamarudin memutuskan perkara berkenaan dalam sebutan semula kes membabitkan dua remaja berusia 16 tahun itu, lapor Astro Awani.

Permohonan untuk memindahkan kes dibuat mengikut Seksyen 177A Kanun Acara Jenayah.

Dua remaja itu dituduh bersama melakukan bunuh di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, antara jam 4.15 pagi hingga 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Majistret Zilfinaz Abbas memutuskan salah seorang tertuduh kes bakar pusat tahfiz terbabit dilepas tanpa dibebaskan atas dakwaan memasukkan dadah jenis ganja dan syabu ke dalam badan.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa memasukkan dua jenis dadah iaitu ganja dan syabu ke dalam badan di tandas pejabat D7, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, pada jam 11.35 pagi, pada 16 September lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaan Nordin Ismail dan Nurakmal Farhan Aziz, manakala dua remaja itu diwakili peguam Haijan Omar dan Joanne Chua.

Dalam kejadian malang itu, 21 pelajar dan dua warden maut selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan yang terbakar.

 

 

Categories
NASIONAL

Asrama tahfiz di Shah Alam terbakar

SHAH ALAM, 23 OKT: Sebuah asrama penginapan pelajar Akademi Tahfiz Ihya Ul-Quran, Kampung Bukit Lanchong, di sini, musnah kira-kira 20 peratus dalam insiden kebakaran malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian itu, pada jam 8.30 malam dan dua jentera bersama 14 anggota digerakkan ke lokasi.

Beliau berkata, bagaimanapun tiada mangsa cedera dalam kebakaran asrama berkeluasan 90 kaki persegi yang terletak di tingkat dua bangunan tiga tingkat itu.

Katanya, api yang membakar beberapa tilam serta katil pelajar berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira sejam kemudian, namun punca kejadian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, mudir akademi terbabit Mohd Khairul Ni’mat Doll Kawaid, 33, ketika ditemui pemberita di lokasi memberitahu, api dilihat marak sekitar jam 8.15 malam sebelum mengarahkan 17 pelajar berumur sembilan hingga 17 tahun yang sedang mengaji di tingkat bawah meninggalkan bangunan terbabit.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan punca kebakaran dipercayai ekoran sisa bara ubat nyamuk yang dipasang di dalam asrama itu.

“Akademi ini pernah dilawati bomba, polis dan pihak berkuasa tempatan sebelum ini dan kita sedang menaik taraf secara berperingkat beberapa keperluan disarankan agensi terbabit demi keselamatan pelajar.

“Malah kita juga akan cuba mewujudkan skuad bomba tahfiz, pada masa depan untuk memberi kefahaman dan kesedaran kepada pelajar serta guru mengambil tindakan pantas jika berlaku sebarang insiden atau kecemasan tidak diduga,” kata Mohd Khairul Ni’mat.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Siapakah lelaki misteri itu?

SHAH ALAM 16 SEPT: Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menunjukkan kelibat seorang lelaki yang memanjat pagar sebelum menceroboh masuk ke dalam kawasan premis bersebelahan pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

MYMetro melaporkan Sumber berkata kelibat lelaki berkenaan dirakam kira – kira jam 3.10 pagi oleh satu daripada puluhan CCTV di pejabat PPIM.

Katanya, suspek lelaki berpakaian T shirt biru dikesan masuk melalui pintu pagar kiri sebelum melalui perkarangan pejabat PPIM dan menuju ke bahagian kanan yang juga bersebelahan dengan pusat tahfiz berkenaan.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Ketua Aktivis PPIM berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian ini ada kaitan dengan pencerobohan ke pusat tahfiz berkenaan.

“Kita sudah menyerahkan semua rakaman berkenaan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut malah mereka meneliti semua rakaman sejak pagi tadi,” katanya dalam sidang media berkenaan.

SiapaMenurutnya, polis sedang meneliti hampir 30 cctv di pejabat berkenaan yang dipercayai boleh memberi petunjuk kepada kejadian kebakaran itu.

Katanya, sejak semalam hingga ke waktu sidang media diadakan, sepasukan polis sedang meneliti semua rakaman itu.

Katanya, kedudukan cctv di sekitar pejabat PPIM bersebelahan pusat tahfiz itu boleh merekodkan situasi yang berlaku sebelum dan sewaktu kejadian.

“CCTV ini menampakkan hampir semua sudut pusat tahfiz termasuk Taman Tasik Datuk Keramat yang terletak di belakang bangunan ini.

“Semakan mendapati bermula jam 7 malam hingga 12 tengah hari, terdapat belasan individu berlegar di sekitar taman dan polis sedang menyiasat keberadaan mereka yang boleh dikaitkan dengan kejadian kebakaran ini,” katanya.

Menurutnya, banyak pihak yang tular di media sosial dengan mendakwa kejadian kebakaran itu ada kaitan dengan kegiatan PPIM.

“Saya tidak menolak sebarang kemungkin termasuk unsur khianat dan dendam. Biar polis siasat dari semua aspek.

“Kita menunggu petunjuk tetapi perasaan dendam itu ada kemungkinan dan ia perkara baru untuk PPIM, ” katanya.

 

SUMBER: MYMETRO