Categories
NASIONAL

Tiada lagi episod ‘regim Mahathir’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 JAN: Kesediaan Anwar Ibrahim memberi laluan kepada bekas seteru politiknya, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri Pakatan melenyapkan episod ‘silam’ kedua pemimpin itu.

Penganalisis politik, Mohd Sayuti Omar berkata, penyatuan itu bakal membuka lembaran baru kepada gabungan Pakatan untuk menawan Putrajaya, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Saat Dr Mahathir mengucap terima kasih dan membangkitkan penderitaan serta kesusahan ditanggung Anwar sekeluarga selama 20 tahun gara-garanya, ramai yang sebak juga pilu.

“Sebak itu ikut sama dikongsikan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Jiwa keibuannya lebih maklum apa yang ditanggung Wan Azizah kerana tragaedi politik berkenaan.

“Bagi kita semua, insiden mengharukan berlaku semalam menamatkan episod lama antara keduanya dan segmen baru penuh optimis baru bermula,” tulisnya dalam laman blog, MSO.

Beliau merujuk kepada Konvensyen Pakatan Harapan, semalam yang menyaksikan pemilihan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri Pakatan, yang turut diselangi episod air mata Dr Siti Hasmah.

Ia susulan kenyataan terbuka mantan perdana menteri itu yang terhutang budi dengan Anwar kerana sanggup mengenepikan sentimen politik lalu untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dr Mahathir dilapor berkata, beliau mengakui keperitan terpaksa dilalui Anwar dan keluarganya sepanjang tempoh 20 tahun lalu.

Untuk rekod, Anwar sebelum ini diletakkan sebagai calon asal Perdana Menteri Pakatan, namun masih menjalani hukuman penjara dan bakal bebas, pada 8 Jun ini.

Pada masa sama, undang-undang negara ini menghalang tahanan politik untuk bergiat kembali dalam arena politik bagi tempoh lima tahun, selepas tamat menjalani hukuman penjara.

Bagaimanapun, Mohd Sayuti melihat kecenderungan senario politik terkini itu diyakini mampu mengukuhkan gelombang penyatuan baru Anwar dan Dr Mahathir.

“Peristiwa di konvesyen itu juga boleh disifatkan seolah pemotongan riben atau perletakan batu asas negara untuk mencipta semula era kegemilangan Mahathir – Anwar sebelum ini.

“Ia seakan baru digagaskan untuk menuju puncaknya pada Piraum akan datang,” katanya.

Anwar pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika era pentadbiran Dr Mahathir sebelum dipecat, pada 1998.

Pada 1999, beliau dijatuhi hukuman penjara enam tahun kerana didapati bersalah atas kesalahan penyalahgunaan kuasa.

Kesan daripada itu wujudnya gerakan Reformasi yang ditunjangi Anwar dan sehingga kini menjadi laungan keramat parti KEADILAN.

Tetapi sejarah tercipta, pada 5 September 2016 apabila kedua pemimpin akhirnya berjabat tangan buat kali pertama selepas 18 tahun apabila Dr Mahathir hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ia dipercayai untuk memberi sokongan moral terhadap Anwar yang menfailkan injunksi sementara bagi menghalang penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.