Categories
PENGUMUMAN SELANGOR

KUIS sasar 4,000 pelajar baru tahun ini

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 JAN: Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) mensasarkan kemasukan 4,000 penuntut baru bagi sesi pengambilan pelajar, pada tahun ini.

Timbalan Rektor Pengurusan Korporat (Pembangunan dan Pengantarabangsaan) KUIS, Dr Zulkifli Abd Hamid berkata, pelan jangka panjang dilaksanakan bagi menarik lebih ramai memilih kolej berkenaan sebagai institut pendidikan pilihan.

Katanya, pelaksanaan pelan jangka panjang berkenaan juga dijayakan seiring komitmen institut pendidikan tinggi milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) itu untuk memperlebar jaringan pendidikan, di negeri ini.

“Sasaran 4,000 kemasukan pelajar baru adalah relevan dan jika jumlah ini dapat dicapai, keseluruhan penuntut di KUIS akan mencecah 12,000 orang.

“Justeru, dalam usaha mencapai sasaran 4,000 ini, pelbagai strategi dirancang Bahagian Pemasaran dan Komunikasi KUIS melalui promosi, pameran pendidikan dan ceramah pendidikan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Untuk rekod, KUIS menerima 3,272 kemasukan penuntut baru sepanjang 2017 lalu.

Sementara itu, orang awam yang berminat dan berkelayakan boleh menyambung pengajian di KUIS dengan membuat permohonan secara dalam talian di www.kuis.edu.my.