Categories
NASIONAL

Tidak letak syarat pilih calon PM

OLEH: SABIRAH AZIZ

ALOR SETAR, 7 JAN: Tiada sebarang syarat diletakkan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dalam pemilihan calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PAKATAN) memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), termasuk syarat pembebasan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Presidennya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pembebasan Anwar adalah sebahagian agenda perjuangan parti dan tidak perlu dijadikan syarat kepada mana-mana rundingan.

“Pembebasan Anwar bukan satu syarat tetapi perjuangan parti sejak 1998. Kami sifatkan penahanan beliau sebagai simbol kezaliman walaupun KEADILAN bukan sebuah parti berorientasikan Anwar dan keluarganya.

“Ini juga adalah idealisme perjuangan parti untuk membebaskan Anwar termasuk rakyat daripada kemungkaran yang berlaku kini,” katanya dalam program Jelajah Peduli Rakyat di sini.

Terdahulu, timbul isu mendakwa KEADILAN menetapkan beberapa syarat sebelum bersetuju dengan cadangan PAKATAN menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri PRU14, antaranya membebaskan segera Anwar, kemudian melantiknya sebagai perdana menteri baharu dalam tempoh enam hingga 12 bulan sekiranya berjaya menawan Putrajaya.

Sementara itu, mengulas dirinya disebut sebagai calon Perdana Menteri, Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor mahu parti memberi tumpuan kepada agenda rakyat daripada membincangkan isu calon.

“Mereka perlu bekerjasama memastikan agenda untuk rakyat dilaksanakan dengan bijak dan berhemah memandangkan negara kini berdepan pelbagai krisis seperti kegawatan ekonomi, kepincangan pengurusan dan kegawatan politik.

“Selain itu, jentera PRU14 juga perlu diperkemaskan di semua peringkat.

“Melalui rekod pentadbiran cemerlang di Selangor dan Pulau Pinang, ia harus dijadikan keutamaan pimpinan PAKATAN merencanakan dasar dan program yang dapat mengangkat martabat rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Anwar turut memberikan pandangan supaya isu itu mendapat konsensus terlebih dahulu dan tidak perlu tergesa-gesa menamakan mana-mana individu bagi memberi keutamaan kepada isu dan agenda rakyat.

“Pelbagai pihak telah memberikan pandangan dan perkara ini perlu mendapat pendirian khusus daripada pelbagai parti kerana rakyat yang menentukan masa depan negara bukan individu.

“Saya percaya PAKATAN berlapang dada dalam memastikan pertimbangan ini di mana ia mesti mendapat mandat daripada rakyat.

“Kita juga akan membincangkan apakah kaedah untuk melakukan reformasi dalam sistem pemerintahan,” katanya.

=EZY=