Categories
NASIONAL

Rakyat Kedah, Perlis perlu bangkit dalam PRU14

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA KEDAH, 6 JAN: Rakyat Kedah dan Perlis perlu bangkit pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan memilih Pakatan Harapan (PAKATAN) sebagai parti yang dapat membantu mengubah nasib rakyat di kedua-dua negeri itu.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku jika rakyat Kedah dan Perlis mahukan perubahan seperti apa yang berlaku di Selangor dan Pulau Pinang.

“Saya yakin rakyat Kedah dan Perlis sudah matang dan boleh membuat keputusan yang terbaik bagi menentukan masa depan negara. Saya juga yakin Selangor dapat menjadi model bagi melonjakkan sokongan rakyat untuk memilih PAKATAN.

“Maka, diharapkan pada PRU 14 kali ini, kita dapat mengubah tampuk kepimpinan sedia ada sekali gus membentuk kerjaan baharu di negeri ini,” katanya dalam siri Jelajah Keadilan Peduli Rakyat di sini.

Mohamed Azmin berkata, rakyat Kedah dan Perlis juga turut dapat menikmati manfaat sama yang diberikan kepada rakyat Selangor dan Pulau Pinang jika PAKATAN memerintah negeri itu.

“Insya Allah, saya dan rakyat Selangor akan terus memberikan sokongan kepada rakyat Kedah dan Perlis.

Mengulas lanjut mengenai PRU dan calon Menteri Besar Kedah, beliau berkata, sekiranya parti itu menang di Kedah, mereka tidak akan berhenti berjuang walaupun sering diuji.

“Walaupun kita pernah kalah dan tewas dalam beberapa PRU sebelum ini namun kita tidak akan berhenti berjuang, kerana perjuangan parti ini di Kedah penting. Jangan dinafikan peranan kami kerana kita sudah lama bertapak di kedah.

“Kepimpinan parti ini di Kedah adalah istiqamah maka kita akan tumpukan soal kemenangan PRU14 terlebih dahulu sebelum memikirkan calon yang layak untuk menjadi MB Kedah,” katanya.

=EZY=