Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

UNISEL mahu pelbagai penyelidikan dan penerbitan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 12 JAN: Universiti Selangor (UNISEL) berhasrat menghasilkan lebih banyak kertas penyelidikan dan penerbitan bermula tahun ini, kata Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Presiden dan Naib Canselor itu berkata, ia selaras status UNISEL sebagai salah satu universiti yang memiliki 13 pensyarah bertaraf profesor, 20 bertaraf profesor madya selain lebih 27 peratus kakitangan memiliki kelulusan doktor falsafah (PHD).

Katanya, setiap profesor madya disasar menghasilkan satu buku setiap seorang selain sasaran 500 hasil penerbitan keseluruhan bagi UNISEL.

“Saya positif ia boleh dicapai kerana kita ada kemampuan untuk melakukannya dan berdiri sebaris universiti awam lain.

“Universiti swasta hari ini bukan lagi sekadar bercakap dan bersyarah kemudian terima duit tetapi kita perlu sahut cabaran untuk memperbanyak penyelidikan juga penerbitan seterusnya menaikan ‘ranking’ UNISEL,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Seminar Halatuju Penyelidikan Bidang-bidang Strategik Utama Selangor, di Institut Darul Ehsan, di sini, pada 10 Januari lalu.

Mohammad Redzuan berkata, usaha berkenaan turut menerima sokongan Kerajaan Negeri yang menyalurkan peruntukan RM2 juta untuk melaksanakan penyelidikan bagi tahun ini.

Katanya, UNISEL turut menyediakan landasan dan ruang berkaitan dengan menubuhkan ‘Unisel Press’.

“Jadi tiada sebab untuk tidak menulis dan menerbitkan hasil penyelidikan kita.

“Inilah peluang untuk kita menulis dengan lebih banyak dan akhirnya orang dapat melihat kemampuan kita,” katanya.