Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Jangan keruhkan perbincangan Stadium Shah Alam dengan berita palsu

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 FEB: Penyokong Selangor dinasihatkan supaya bersabar dan tidak mudah mempercayai berita palsu yang disebarkan kerana boleh menjejaskan proses perbincangan antara pihak berwajib bagi merealisasikan hasrat supaya Selangor kembali beraksi, di Stadium Shah Alam.

Presiden Anak Selangor Fans Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid berkata, beberapa isu sebaran keratan Twitter palsu yang mengaitkan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, perlu dijelaskan serta diambil tindakan undang-undang.

“Saya harap penyokong bersabar. Kita sedang melakukan sesuatu yang baik untuk Merah Kuning dan kembali beraksi, di Stadium Shah Alam.

“Saya mohon Amirudin buktikan cerita ini tidak benar. Sebagai Presiden ASFC, kita tidak suka melayan berita palsu. Ini akan menjejaskan visi kita supaya Selangor dapat beraksi semula, di Stadium Shah Alam,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, Amirudin perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya individu yang melakukan sebaran berita palsu diheret ke muka pengadilan bagi mengelakkan isu berkenaan terus dimainkan pihak tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini, tersebar beberapa keratan Twitter yang menggunakan akaun @AmirudinShari yang mendakwa beliau memuat naik status ‘Hanya 12,000 penyokong maka benarlah tidak ada keperluan untuk benarkan bermain di Stadium Shah Alam’.

Amirudin dalam balasannya pula berkata, ‘Nice try bro, nampak tak betapa goyangnya mereka bila orang mula menuju penyatuan cc @Media_Selangor #FakeNews’.

Terbaru, muncul satu lagi keratan berita yang menggunakan paparan laman sesawang SelangorKini dengan tajuk ‘Setuju benar FAS gunakan Stadium tetapi dengan lima syarat’ namun pihak editorial menafikan sekeras-kerasnya dan tidak pernah melaporkan berita sedemikian selain bakal mengambil tindakan undang-undang, dalam masa terdekat.