Categories
SELANGOR

Kempen GEMPUR beri peringatan kepada penjawat awam

OLEH SABIRAH AZIZ

CYBERJAYA, 14 FEB: Penjenamaan semula Kempen Gerakan Memerangi Pemberi Rasuah (GEMPUR) yang dilaksanakan serentak di seluruh negara semalam, bertujuan memberi peringatan kepada penjawat awam supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti rasuah dan salah guna kuasa.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Dato’ Alias Salim berkata, kempen itu sebelum ini dilaksanakan pada 2010 melalui kempen ‘Perangi Pemberi Rasuah’.

“Melalui kempen ini, kita mahu memberi peringatan kepada penjawat awam terutamanya yang terlibat dalam tugas penguatkuasaan, perolehan dan perlesenan supaya menolak rasuah dan terus melaporkan perbuatan berkenaan kepada SPRM.

“Kita telah kemaskan program ini supaya Kempen GEMPUR yang dilaksanakan dapat mendidik masyarakat untuk sedar tentang pemberi rasuah,” katanya.

Katanya, pemberi rasuah sudah ramai ditangkap yang mana ia adalah satu kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 kerana memberi rasuah kepada penjawat awam.

“Kita mahu penjawat awam tidak menerima rasuah daripada orang ramai dalam apa jua situasi,” katanya.

Pelaksanaan kempen itu juga selaras dengan sasaran SPRM untuk membersihkan perkhidmatan awam daripada jenayah rasuah dan salah guna kuasa sekali gus melengkapkan kempen 3J (Jangan hulur, Jangan kawtim, Jangan settle) yang dilancarkan sebelum ini.

=EZY=