Categories
GLOBAL SUKANKINI

Liga Europa: Arsenal belasah Ostersunds 3-0

OLEH HAFIZAN TAIB

SWEDEN, 16 FEB: Arsenal tidak berdepan laluan sukar bagi menewaskan wakil Sweden, Ostersunds 3-0 dalam saingan Liga Europa di Jaemtkraft Arena, di sini.

Kelab England dibimbing Arsene Wenger itu memperoleh gol pertama pada minit ke-13 dengan Nacho Monreal berjaya melepaskan satu rembatan melepasi penjaga gol tuan rumah, Aly Keita.

Gol kedua hadir hasil kesilapan pertahanan Ostersunds, Sotirios Papagiannopoulos (m24) yang tertampan bola ke gawang sendiri melalui hantaran penyerang, Henrikh Mkhitaryan.

Tuan rumah yang ketinggalan cuba bangkit dengan beberapa percubaan dan satu serangan dilakukan Saman Ghoddos berjaya digagalkan penjaga gol Arsenal, David Ospina.

Mesut Ozil (m58) turut mencipta nama sebagai penjaring apabila mendapat hantaran tepat Mkhitaryan dengan membuat satu rembatan ke dalam pintu gol tuan rumah.

Keputusan 3-0 dalam perlawanan pertama pusingan 32 pasukan itu menjadikan Arsenal selesa bagi menghadapi aksi kedua di gelanggang sendiri, pada 23 Februari ini.