Categories
SUKANKINI

UEL: Chelsea mudah tewaskan Arsenal 4-1

OLEH AFIX REDZUAN

BAKU, 30 MEI: Chelsea menjulang trofi Liga Europa (UEL) penuh bergaya awal pagi tadi selepas menewaskan Arsenal 4-1, pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Olimpik Baku, Azerbaijan.

Eden Hazard muncul wira The Blues apabila meledak dua jaringan di babak kedua bagi membolehkan skuad Maurizio Sarri menyekat impian Arsenal untuk menyertai Liga Juara-Juara Eropah (UCL) secara automatik musim hadapan atas kapasiti selaku Juara UEL.

Arsenal terlebih dahulu mengasak pada minit kelapan menerusi hantaran Ainsley Maitland-Niles tetapi berjaya ditumbuk keluar penjaga gol, Kepa Arrizabalaga dan tindakan susulan Pierre-Emerick Aubameyang gagal menepati sasaran.

Granit Xhaka mencuba dari luar kotak penalti Chelsea pada minit ke-27 tetapi percubannya sekadar melambung tinggi.

Tanpa jaringan pada babak pertama, Chelsea memulakan langkah kanan di babak kedua dengan gol pembukaan Olivier Giroud yang berjaya menanduk masuk hantaran Emerson pada minit ke-49.

Pedro menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-60 apabila berjaya melepaskan rembatan kaki kiri menewaskan penjaga gol The Gunners, Petr Cech hasil tolakan Hazard.

Hazard menyempurnakan sepakan penalti lima minit kemudian bagi membolehkan Chelsea selesa mendahului 3-0 selepas Giroud dijatuhkan Maitland-Niles.

Arsenal cuba merapatkan kedudukan 3-1 pada minit ke-69 hasil jaringan cantik Alex Iwobi tetapi Hazard meleburkan sisa kebangkitan lawan dengan gol kedua peribadi bagi kedudukan 4-1 buat Chelsea.

Kedudukan 4-1 kekal sehingga tamat permainan sekaligus memastikan Piala UEL di bawa pulang ke Stamford Bridge.

Foto Ihsan: Premier League & Europa League

Categories
GLOBAL SUKANKINI

Isu keselamatan halang Mkhitaryan ke Baku

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 MEI: Arsenal akan mengharungi perlawanan akhir Liga Europa menentang Chelsea, minggu hadapan tanpa tonggak tengah, Henrikh Mkhitaryan selepas beliau mengambil keputusan tidak menyertai pasukan demi keselamatannya di Baku, Azerbaijan.

Pemain berusia 30 tahun itu memaklumkan, konflik berterusan antara Armenia dan Azerbaijan membimbangkan dirinya walaupun sudah ada jaminan keselamatan daripada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

“Selepas mempertimbangkan semua pilihan, kami perlu mengambil keputusan sukar buat saya untuk tidak berlepas bersama pasukan ke perlawanan akhir Liga Europa.

“Perlawanan seperti ini tidak datang selalu untuk kami dan saya perlu akui ia menyakitkan apabila terpaksa melepaskannya.

“Saya akan menyokong rakan sepasukan, ayuh bawa (kejuaraan) pulang,” katanya di laman Instagram micki_taryan.

Sementara itu, Pengurus The Gunners, Unai Emery dilaporkan berkata beliau menghormati keputusan Mkhitaryan walaupun menyifatkan ia berita buruk buat pasukan.

Kredit Foto: Instagram Henrikh Mkhitaryan

Categories
SUKANKINI

PL: Laluan Arsenal ke UCL kian berliku

OLEH AFIX REDZUAN

LONDON, 25 APR: Arsenal mempersiakan peluang mengukuhkan kedudukan bagi menempah tempat ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan apabila tewas 3-1 kepada Wolverhampton Wanderers awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Unai Emery masih dibayangi kekalahan 2-3 kepada Crystal Palace di laman sendiri minggu lalu melepaskan tiga gol pada babak pertama.

Wolves meledak gol pertama pada minit ke-28 menerusi sepakan percuma Ruben Neves yang gagal ditampan penjaga gol, Bernd Leno.

Matt Doherty menanduk masuk hantaran Johnny Castro 11 minit kemudiaan bagi kedudukan 2-0 apabila berjaya melepasi perangkap offside.

Malang terus menimpa The Gunners apabila Diogo Jota menjadikan kedudukan 3-0 apabila melakukan larian solo sebelum melepaskan rembatan kaki kiri untuk sekali lagi menewaskan Leno.

Arsenal hanya berjaya memperoleh gol saguhati pada minit ke-80 menerusi tandukan Soktatis hasil sepakan penjuru Granit Xhaka.

Chelsea yang berada di tempat keempat mengumpul 67 mata hanya berkelebihan satu mata di hadapan Arsenal dengan baki tiga perlawanan liga musim ini.

Kredit Foto: Facebook Premier League

Categories
SUKANKINI

Petr Cech bakal bersara hujung musim ini

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 16 JAN: Selepas beraksi selama 20 tahun, penjaga gol berpengalaman, Petr Cech mengumumkan bakal bersara hujung musim ini sebagai pemain profesional.

Beliau yang kini berusia 36 tahun masih beraksi bersama Arsenal sejak berpindah daripada Chelsea, pada 2015 masih berharap untuk menang sekurang-kurangnya satu lagi trofi musim ini.

“Inilah masa sesuai untuk mengumumkan persaraan saya hujung musim ini. Saya sudah beraksi selama 15 tahun di Liga Perdana Inggeris dan memenangi setiap trofi kejuaraan.

“Saya rasa sudah mencapai kejayaan seperti yang diimpikan. Saya akan terus bekerja keras bersama Arsenal dan memenangi satu lagi kejuaraan musim ini.

“Selepas itu, saya akan melihat peluang yang ada di luar padang,” katanya menerusi laman Instagram @petrcech.

Cech antara pemain yang melalui zaman kegemilangan ketika bersama Chelsea, sejak 2004 di bawah bimbingan Jose Mourinho selepas berhijrah daripada Rennes dengan 333 penampilan serta menjuarai trofi Liga Perdana Inggeris, Piala FA, Piala Perisai Komuniti, Liga Juara-Juara Eropah dan Piala Europa.

Dalam karier antarabangsa pula, Cech mewakili Republik Czech, sejak 2002 dengan 124 kaps kebangsaan sebelum mengumumkan persaraan, pada 2016.

Categories
SUKANKINI

Liga Europa: Arsenal dan Chelsea menang besar

PARIS 30 NOV: Pasukan dari London, Chelsea dan Arsenal menang besar dalam saingan Liga Europa awal pagi tadi dengan gergasi Glasgow, Celtic dan Rangers pula terpaksa menunggu perlawanan terakhir untuk layak ke peringkat seterusnya.

Pengurus Arsenal, Unai Emery menyenaraikan pemain muda untuk beraksi di Ukraine dan mereka membalas kepercayaannya apabila meraih kemenangan selesa 3-0, menewaskan Vorskla Poltava.

Kejayaan itu sekali gus menjamin kedudukan Arsenal di kedudukan teratas Kumpulan E, dalam perlawanan yang dipindahkan ke Kiev, berikutan wujud kebimbangan mengenai isu keselamatan di timur negara itu.

Pemain remaja, Emile Smith Rowe dan Joe Willock masing-masing mencetak nama selaku penjaring dan satu lagi gol diraih hasil penalti Aaron Ramsey bagi memastikan kemenangan buat The Gunners.

Arsenal kini perlu mengelak daripada bertemu pasukan yang tersingkir daripada Liga Juara-Juara, dalam undian peringkat seterusnya, kerana mereka mempunyai rekod yang lebih baik menentang pasukan di tempat kedua, Sporting Lisbon.

Sementara itu, jurulatih Chelsea, Maurizio Sarri yang mendesak pemainnya bangkit selepas kekalahan kepada Tottenham di Liga Perdana Inggeris sebelum ini, juga berjaya mengemudi pasukan menebus kekecewaan di pentas domestik.

The Blues menewaskan PAOK Salonika 4-0, dengan dua gol hasil jaringan pemain Perancis, Olivier Giroud.

“Sasaran utama adalah untuk menang, kami perlukan tindak balas pasukan yang kuat dan kami berjaya melakukan dengan baik pada kali ini,” kata Giroud.

“Saya sangat gembira dengan semangat pasukan dan kami kini boleh bergerak ke hadapan dan mula mendapatkan momentum baru.

“Saya dapat menjaringkan gol, tetapi sebenarnya saya terpaksa menunggu untuk mendapatkan lebih peluang,” kata Giroud.

Sebelum perlawanan awal pagi tadi, Bayer Leverkusen, Zurich, Dinamo Zagreb, Arsenal, Frankfurt, Lazio dan Chelsea semuanya sudah layak ke saingan seterusnya.

Begitu juga dengan pasukan Salzburg, Sporting Lisbon, Real Betis, Zenit Saint-Petersburg, Dynamo Kiev, Krasnodar dan Fenerbahce – yang beraksi untuk memburu kedudukan selesa di carta kumpulan.

SUMBER: AFP

Categories
SUKANKINI

EPL: Arsenal dalam senyap mula mengejar pendahulu liga

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 23 OKT: Pemain ‘The Gunners’ Mesut Ozil mempamerkan antara persembahan permainan terbaik di posisi midfielddi Liga Perdana musim ini apabila Arsenal mengalahkan Leicester untuk mencatat kemenangan berturut-turut ke-10 dalam semua pertandingan.

BBC NEWS melaporkan dua jaringan hasil penyerang Pierre-Emerick Aubameyang dan satu lagi oleh Mesut Ozil melakar kecemerlangan tersendiri apabila menumbangkan Leicester 3-1.

Mesut Ozil menjadi antara nadi utama membantu kemenangan pasukan itu semalam.

Arsenal dan Chelsea kini memperolehi 21 mata hanya dua mata di belakang pendahulu Manchester City dan Liverpool dengan 23 mata.

Pengganti Wenger, Unai Emery dilihar jelas berjaya memberi nafas baru buat Arsenal bagaimanapun enggan memberi harapan terlalu awal.

Unei Emery berkata komitmen ditunjukkan Ozil sangat baik.

“Ia baik pada separuh masa kedua, dan kami berjaya dalam separuh masa pertama.

“Kemajuan dalam 90 minit adalah baik dan kami bermain dengan sikap yang baik dan tahap kualiti kami. Kemenangan itu adalah yang besar dan kami sepatutnya.

“Setiap perlawanan dan latihan komitmen Ozil sangat baik, pemain-pemain bekerja dan membantu satu sama lain. Prestasi pasukan dan juga dengan Mesut sangat baik.

“Hasil yang baik dan matlamat yang baik – pasukan hanya kehilangan 30 minit pertama,” kata Umei.

Selain EPL, Arsenal juga kini mendahului Kumpulan E Liga Europa selepas menang kesemua dua perlawanan setakat ini. Pasukan itu bakal berdepan kelab Portugal, Sporting Lisbon, Jumaat ini.

FOTO SUMBER: BBC NEWS

 

Categories
SUKANKINI

Pemain Arsenal dilarang ambil minuman terlampau manis

LONDON 1 SEPT: Unai Emery mengharamkan pemain Arsenal daripada mengambil minuman buah-buahan mengandungi kandungan gula yang tinggi ketika usahanya meningkatkan pemulihan kelab Liga Perdana Inggeris itu selepas era Arsene Wenger.

Emery meminta kakitangan kantin Arsenal untuk mengeluarkan jus yang tidak segar daripada pangkalan latihan kelab London Colney.

Sebaliknya, pengurus Arsenal itu mahu pasukan mengikut jejaknya dengan mengambil minuman alternatif yang lebih sihat.

Skuad Gunners meraih kemenangan pertama mereka dengan keputusan 3-1 ke atas West Ham, selepas tewas dua perlawanan pertama kepada Manchester City dan Chelsea.

Mereka akan berkunjung ke Cardiff, Ahad ini dengan bekas bos Paris Saint-Germain, Emery menegaskan pemain baharu berada dalam senarai teratas mengenai garis panduannya mengenai apa yang mereka harus minum.

‘Ya, ia benar,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai larangan terhadap minuman itu, hari ini.

“Saya suka buah-buahan dan saya suka jus buah-buahan. Tapi dengan kandungan gula yang tinggi? Ia sangat tidak baik.

“Ketika saya masih muda, ayah saya datang setiap hari dengan satu jus oren yang segar.

“Saya sukakannya dalam hidup saya. Oleh itu, apabila saya tiba di sini, saya hanya memintanya dari tukang masak. Semua pemain, saya fikir, ia adalah sama. Lebih baik mereka minum jus oren segar.”

SUMBER: AFP

 

Categories
SUKANKINI

Selamat datang ke Arsenal, Unai Emery

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 23 MEI: Arsenal secara rasmi mengumumkan pelantikan pengurus baru dari Sepanyol, Unai Emery bagi menggantikan Arsene Wenger dengan kontrak selama dua tahun.

Berusia 46 tahun, Emery hadir membimbing The Gunners dengan reputasi cemerlang apabila membawa Paris Saint-Germain (PSG) menjuarai Ligue 1 Perancis selain memenangi empat piala peringkat domestik.

Bekas Pengurus Terbaik Eropah musim 2013-14 itu pernah melakar rekod cemerlang dalam peringkat Eropah apabila menjuarai Piala Europa sebanyak tiga kali bersama Sevilla, pada 2014, 2015 dan 2016.

Kehadiran Unai Emery dijangka mampu membangkitkan semula prestasi cemerlang Arsenal selepas sekadar menduduki tempat keenam dalam Liga Perdana Inggeris selain tersingkir di peringkat separuh akhir kepada Atletico Madrid dalam Piala Europa musim ini.

Unai Emery adalah pengurus kedua bukan berasal daripada Britain yang memimpin Arsenal selepas Arsene Wenger.

Kredit Foto: TalkSport.com

Categories
SUKANKINI

Wenger ucap selamat tinggal kepada Arsenal

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 20 APR: Arsene Wenger, 68 akan meninggalkan Arsenal hujung musim ini selepas berkhidmat selama 22 tahun bersama kelab berpengkalan di London itu.

Keputusan itu diumumkan menerusi laman rasmi Arsenal dan Wenger turut memaklumkan hasratnya itu kepada pasukan sebelum sesi latihan menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris menentang West Ham United, Ahad ini.

“Selepas mempertimbangkan sebaiknya dan berbincang bersama kelab, saya rasa ini adalah masa terbaik untuk berundur hujung musim ini.

“Saya bersyukur diberikan penghormatan mengendalikan kelab ini sepanjang beberapa tahun. Saya menguruskan kelab dengan penuh komitmen dan integriti.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan, pemain, lembaga pengarah dan peminat yang menjadikan kelab ini begitu istimewa. Cinta dan sokongan saya terhadap kelab ini kekal selamanya,” katanya.

Wenger memulakan karier bersama The Gunners sejak dilantik pada September 1996 dan mengharungi musim pertama yang kurang memberangsangkan.

Namun, beliau berjaya mengubah keadaan di musim kedua dengan membawa masuk beberapa nama besar seperti Patrick Vieira dan Emmanuel Petit.

Pengendali dari Perancis ini turut berjaya melakar sejarah bersama Arsenal pada musim 2003/04 apabila memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris tanpa sebarang kekalahan.

Beliau turut berjaya membawa Arsenal ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah musim berikutnya tetapi tewas kepada Barcelona.

Arsenal kini dilandasan terbaik untuk merangkul trofi pertama Eropah apabila berada di peringkat separuh akhir Piala Europa dan akan bertemu Atletico Madrid.

 

Categories
SUKANKINI

EPL: Wenger kembali temui sentuhan terbaik Arsenal

LONDON 12 MAC: Arsene Wenger menerima tonik tambahan ketika Arsenal mengurangkan sedikit tekanan terhadap bos mereka menerusi kemenangan 3-0 mengatasi Watford dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Selepas keputusan yang menyebabkan Wenger terpaksa bertarung mempertahankan jawatannya, kemenangan 2-0 di AC Milan dalam saingan Liga Europa awal pagi Jumaat lalu memberikan kelegaan sementara terhadap pengendali dari Perancis itu daripada kritikan yang dihadapinya musim ini.

Mengekalkan rentak daripada kemenangan kelompok 16 terakhir di San Siro, Wenger menamatkan kekalahan ketiga berturut-turut dalam Liga Perdana dengan persembahan mantap di Stadium Emirates.

Jaringan awal Shkodran Mustafi dan penamat tenang oleh Pierre-Emerick Aubameyang memberikan mereka kawalan dalam saingan kali ini.

Penalti kapten Watford, Troy Deeney, yang mempersoalkan semangat Arsenal awal musim ini diselamatkan Petr Cech pada babak kedua.

Jaringan Henrikh Mkhitaryan melengkapkan tiga mata buat Arsenal tetapi wujud kebimbangan berikutan Mustafi cedera pada penghujung saingan.

Arsenal yang tewas lapan daripada 14 perlawanan dalam semua kejohanan, kekal di tangga keenam dan pasukan tangga keempat Tottenham, 10 mata di depan mereka menjelang kunjungan ke Bournemouth.

“Semangat dan keinginan pemain adalah bagus. Ia menjauhkan masalah daripada kami. Anda perlu memberi pujian kepad pemain, mereka kekal bersatu,” kata Wenger.

“Saya percaya adalah penting untuk terus melakukannya selepas persembahan berdepan Milan, menunjukkan satu tahap konsisten. Secara keseluruhan ia kemenangan meyakinkan dan ia penting.

“Kami melalui tempoh yang mengecewakan dan penyokong kami menderita sama seperti kami. Tetapi tugas kami ialah terus beraksi baik dan kekal bersatu pada masa yang penting ini dan kembali mendapatkan sokongan penyokong.”

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL SUKANKINI

Liga Europa: Arsenal belasah Ostersunds 3-0

OLEH HAFIZAN TAIB

SWEDEN, 16 FEB: Arsenal tidak berdepan laluan sukar bagi menewaskan wakil Sweden, Ostersunds 3-0 dalam saingan Liga Europa di Jaemtkraft Arena, di sini.

Kelab England dibimbing Arsene Wenger itu memperoleh gol pertama pada minit ke-13 dengan Nacho Monreal berjaya melepaskan satu rembatan melepasi penjaga gol tuan rumah, Aly Keita.

Gol kedua hadir hasil kesilapan pertahanan Ostersunds, Sotirios Papagiannopoulos (m24) yang tertampan bola ke gawang sendiri melalui hantaran penyerang, Henrikh Mkhitaryan.

Tuan rumah yang ketinggalan cuba bangkit dengan beberapa percubaan dan satu serangan dilakukan Saman Ghoddos berjaya digagalkan penjaga gol Arsenal, David Ospina.

Mesut Ozil (m58) turut mencipta nama sebagai penjaring apabila mendapat hantaran tepat Mkhitaryan dengan membuat satu rembatan ke dalam pintu gol tuan rumah.

Keputusan 3-0 dalam perlawanan pertama pusingan 32 pasukan itu menjadikan Arsenal selesa bagi menghadapi aksi kedua di gelanggang sendiri, pada 23 Februari ini.

 

Categories
SUKANKINI

EPL: Arsenal bedil Everton 5-1

LIGA PERDANA INGGERIS 4 FEB: Hatrick Aaron Ramsey membantu Arsenal menundukkan Everton 5-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika mana Pierre-Emerick Aubame menjaringkan gol pada penampilan sulungnya.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan di Old Trafford, bekas pemain Gunners, Alexis Sanchez turut menjaringkan gol pertamanya bersama Manchester United yang meraih kemenangan 2-0 ke atas Huddersfield.

Tiba selaku pemain termahal kelab, Aubameyang kembali bergandingan dengan bekas rakan sepasukannya di Borussia Dortmund, Henrikh Mkhitaryan yang tiba dari United dalam perjanjian yang turut membabitkan Sanchez.

Ketika jentera serangan baharu Arsenal tampak tajam, tetapi Ramsey jelas lebih mencuri tumpuan apabila menjaringkan hatrik pertama dalam kariernya.

Satu lagi gol Arsenal dijaringkan Laurent Koscielny.

Selain kehadiran Aubameyang dan Mkhitaryan, Arsenal turut memperoleh khabar gembira apabila tonggak tengahnya, Mesut Ozil sah menandatangani kontrak baharu selama tiga tahun yang menyaksikan mereka meledak empat gol selepas 37 minit perlawanan bermula.

Tuan rumah hanya memerlukan enam minit untuk membuka tirai jaringan menerusi Ramsey sebelum Koscielny menggandakan kedudukan tujuh minit kemudian.

Ramsey kemudian menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-19 sebelum gandingan Mkhitaryan dan Aubameyang membuktikan keserasian mereka dengan meledak gol keempat tuan rumah pada minit ke-37.

Pemain gantian, Dominic Calvert-Lewin cuba menghidupkan peluang Everton dengan menjaringkan gol pada minit ke-64 tetapi perjuangan mereka berakhir selepas Ramsey meledak hatrik pada minit ke-74.

“Ia masih terlalu awal, tetapi mereka nampaknya mempunyai kualiti untuk menyerap corak permainan yang kami ingin gunakan,” kata pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengenai pemain baharunya.

“Mereka pantas, mempunyai pergerakan yang tajam dan tangkas serta mereka tidak mahu kehilangan bola. Ia amat bagus dan petanda yang positif.”

SUMBER: AFP