Categories
SELANGOR

Naik taraf longkang siap kurang enam bulan

OLEH SABIRAH AZIZ

GOMBAK, 13 FEB: Projek menaik taraf longkang di Taman Gombak Ria dijangka dapat disiapkan kurang enam bulan dari sekarang.

Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Hasbullah Md Ridzwan berkata, projek itu kini dilaksanakan kontraktor dilantik Majlis Perbandaran Selayang.

Katanya, kerja berkenaan bukan hanya membabitkan pembesaran longkang tetapi merangkumi pengalihan pelbagai utiliti berselirat.

“Ia turut membabitkan pelbagai agensi seperti Air Selangor, Telekom Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad, justeru saya mohon penduduk supaya tidak panik atau mempersoalkan mengapa ada ketika tiada kerja pengorekan dilakukan,” katanya.

Projek itu dilaksanakan bertujuan mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda kawasan terbabit apabila hujan lebat berterusan.