Categories
SELANGOR

Pamer kematangan sebelum buat dakwaan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 FEB: Jumlah projek Rumah Selangorku yang dibatalkan jauh lebih kecil, berbanding bilangan projek yang mendapat Kebenaran Merancang atau sedang dalam pembinaan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, 100,533 unit membabitkan 179 projek sudah mendapat Kebenaran Merancang dengan 20,627 unit daripada 29 projek sedang dalam pembinaan.

Manakala, katanya, 17 projek membabitkan 3,620 unit rumah diap dan diduduki rakyat Selangor.

“Terdapat dakwaan mengatakan dengan pembatalan projek itu, maka pembeli akan teraniya tetapi mereka yang membuat dakwaan ini tidak memahami proses pembangunan projek perumahan, di negara kita.

“Projek yang dibatalkan kelulusan itu kerana tiada Kebenaran Merancang,” katanya dalam kenyataan.

Iskandar berkata, jika sesuatu projek tiada Kebenaran Merancang, maka ia tidak memiliki Lesen Permit Pengiklanan Pembangunan (APDL), sekali gus tiada pembeli.

Pada masa sama, beliau berkata, antara sebab pemaju tidak momohon Kebenaran Merancang untuk Rumah Selangorku kerana mereka mengutamakan pembinaan rumah mewah.

“Mereka yang membuat dakwaan itu hanya sekadar membuta tuli menuduh, malah mendakwa penjelasan Dato’ Menteri Besar dan Exco Perumahan bercanggah.

“Dato’Seri Mohamed Azmin Ali sudah menjelaskan pembatalan ini berlaku kerana pemaju mengutamakan pembinaan rumah mewah dan ini tidak bercanggah dengan kenyataan saya.

“Walaupun pilihan raya hampir tiba tetapi elakkan daripada mempolitikan setiap ayat juga perkataan. Pamerkan sedikit kematangan,” katanya.