Categories
SELANGOR

Pasar Kuala Ampang siap Mac

OLEH SYAZWANI SUFIAN

AMPANG, 9 FEB: Peniaga pasar kini boleh menarik nafas lega apabila Pasar Kuala Ampang yang dinaik taraf dijangka siap, pada Mac ini.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pasar yang menelan belanja hampir RM3 juta itu sudah siap hampir 98 peratus.

“Saya harap, peniaga akan dapat kembali ke pasar terbabit dengan kemudahan yang cukup canggih termasuk Loji Rawatan Air Sisa Pasar (WWTP), pada Mac ini.

“Loji itu akan merawat air yang digunakan di pasar terbabit seterusnya membekalkan air terawat bagi membasmi pencemaran untuk diguna pakai semula,” katanya,

Mohamed Azmin berkata, beliau sudah meminta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk memastikan kerja naik taraf dapat disiapkan seperti yang dijadualkan.

“Pasar ini boleh menempatkan 80 peniaga dan saya yakin pasar baru ini akan lebih ramai pengunjung yang bukan sahaja dalam kalangan penduduk Kuala Ampang tetapi penduduk luar juga selepas siap,” katanya.

Difahamkan, Pasar Kuala Ampang adalah salah satu daripada empat pasar yang dinaik taraf di MPAJ termasuk Pasar Pekan Ampang, Pasar Pandan Jaya dan Pasar Tasik Tambahan.